Saya akan guna peguam sekiranya isu dengan Terengganu FC tidak selesai – Faisal Halim

9,285

Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim mengakui kesalahannya apabila membuat kenyataan media berhubung kemelut dengan bekas pasukannya Terengganu FC ketika masih bersama kelab itu beberapa bulan lalu.

Faisal bagaimanapun tidak berpuas hati apabila pihak kelab hanya mengambil tindakan memotong gaji bulan terakhirnya tanpa memberi sebarang surat amaran terlebih dahulu.


“Betul saya mengaku salah, tapi buatlah cara betul, bagi surat pada saya, bagi surat potong gaji barulah saya boleh terima sebab itu memang salah saya dan saya mengaku kesalahan saya, tapi bila saya dah keluar Terengganu baru buat.

Sebenarnya saya tiada masalah dengan Terengganu, benda ni dah habis dan Alhamdulillah sekarang saya sudah masuk Selangor FC dan saya hormati Terengganu, tapi bila sampai tahap macam ini saya tidak boleh tahan, saya tak boleh sabar.

Saya tak kisah kalau mereka nak potong gaji, potong lepas saya buat kenyataan, dua tiga hari bagi surat amaran dan potong bulan Oktober, tapi bila saya dah keluar tengok-tengok gaji kena potong 15%,”

katanya.

Beliau pada masa sama turut mempertikaikan tindakan pengurusan yang tidak mengenakan tindakan sama kepada ketua jurulatih Nafuzi Zain sedangkan pengendali itu turut membuat kesalahan sama.

Dalam pada itu, Faisal berkata beliau kini sedang menunggu surat tunjuk sebab daripada pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum ambil tindakan selanjutnya.

“Saya tunggu surat tunjuk sebab dan slip gaji daripada pihak pengurusan, selepas itu baru sahaja akan pergi ke PFAM dan niat saya memang nak ambil peguam. Saya tidak akan berdiam.”

Faisal juga menegaskan bahawa dalam kontraknya bersama Terengganu tiada klausa yang beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan media.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai aksinya dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF 2022 selepas membantu pasukan membenam Laos 5-0 yang menyaksikan beliau menjaringkan dua gol.

“Sekarang saya dah jaringkan tiga gol, namun bukan gol yang saya cari tapi mahu bawa pasukan pergi dengan lebih jauh dalam kejohanan ini.”

Dalam pada itu, beliau juga mengakui perlu memikul tanggungjawab besar apabila Pan-gon meletak harapan tinggi untuknya menjadi penjaring terbanyak Piala AFF kali ini sekaligus mengulangi pencapaian yang dikecapi Safee Sali pada tahun 2010.

“Itu sebenarnya adalah tanggungjawab besar untuk diri saya. Tapi saya ambil cabaran ini saya letak dalam diri saya untuk saya lebih berjaya. Saya sahut cabaran coach KPG. Namun itu tak penting sebenarnya, yang penting saya mahu pasukan kita mara ke perlawanan akhir.”