Kesilapan demi kesilapan buat kami terpaksa akur dengan kehebatan Malaysia – Michael Weiss

207

Ketua jurulatih Laos, Michael Weiss mengakui pasukannya berjaya mengawal permainan pada separuh masa pertama apabila hanya bolos satu gol sahaja, namun kemudian terpaksa akur dengan kehebatan Malaysia apabila kerap melakukan kesilapan di separuh masa kedua.

Pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF 2022, skuad Harimau Malaya berjaya membenam cabaran Laos 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.


“Tahniah diucapkan kepada pasukan Malaysia. Saya rasa kita berjaya mengawal perlawanan pada separuh masa pertama dengan tidak memberi banyak ruang dan hanya melepaskan satu gol.

Tapi masuk separuh masa kedua dengan pertukaran pemain dan tempo permainan meningkat, dengan kesilapan yang dilakukan kami tidak mampu bangkit lagi,”

katanya.

Menurut Weiss, walaupun mereka sekali lagi tewas dengan jumlah jaringan besar, namun beliau tetap bangga dengan aksi pemainnya yang rata-rata muda dan tidak mempunyai pengalaman.

Tambahnya lagi, beliau juga perlu perlu memberi kredit kepada pemainnya atas semangat perjuangan mereka walaupun beraksi di hadapan hampir 30,000 peminat tuan rumah.

Dalam pada itu, Weiss turut mengesahkan bahawa pemain bintang mereka iaitu Billy Ketkeophomphone tidak akan diturunkan sepanjang kejohanan ini selepas mengalami kecederaan serius.

Terdahulu, Laos dibelasah 6-0 pada perlawanan pertama menentang Vietnam dan selepas dua kekalahan berturut-turut sekaligus boleh dikatakan sudah tersingkir.

Laos selepas ini akan bertemu dengan Singapura dan akan menutup kempen Piala AFF mereka menentang Myanmar.