KPG sasar tiga mata menentang Vietnam, mahu tamatkan saingan sebagai juara kumpulan

877

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon tetap menyasarkan tiga mata apabila menentang Vietnam dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF esok walaupun mereka pasukan yang amat kuat.

Menurutnya, beliau mahu Malaysia menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan B sekaligus mengesahkan tempat di separuh akhir lebih awal.


“Apa yang Vietnam lakukan beberapa tahun kebelakangan ini adalah amat hebat dan membanggakan para penyokong mereka.

Mereka mempunyai pengalaman dalam perlawanan besar tetapi kami juga mengharungi situasi yang sukar tahun ini dan berlawan dengan pasukan yang sukar, jadi kami tidak takut dengan mana-mana pasukan,”

Jelas Pan-gon, beliau mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada rakan sejawatnya di Vietnam iaitu Park Hang-seo dan merasakan dapat bersaing dengan jurulatih itu di pentas Piala AFF adalah satu penghormatan buat dirinya.

Menurutnya, Hang-seo sememangnya seorang yang dihormati di Korea Selatan dan mempunyai reputasi yang baik.

Sementara itu, beliau berharap pemain-pemain naturalisasi yang ada dalam pasukan ketika ini dapat melakukan yang terbaik buat negara dan para penyokong.

“Saya akui tidak mudah untuk mereka buat keputusan menukar kerakyatan menjadi warganegara Malaysia, jadi saya harapkan mereka dapat berikan yang terbaik untuk menyumbang kepada pasukan dan banggakan penyokong.

Saya mahu mereka buktikan mereka mempunyai kemampuan untuk membantu pasukan ini dan saya harap mereka mampu mencatat kejayaan bersama Malaysia.”

Mengenai persiapan pasukan untuk perlawanan esok, Pan-gon berkata semuanya berada dalam keadaan yang baik dan semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan esok.


Beliau juga tidak merasakan cuaca akan mengganggu prestasi anak buahnya walaupun cuaca di kedua-dua negara berbeza.

Malaysia akan turun menentang Vietnam esok di My Dinh International Stadium pada pukul 8.30 malam waktu Malaysia.