Giancarlo Gallifuoco sudah jatuh hati dengan Malaysia, tak tolak kemungkinan sarung jersi Harimau Malaya

1,587

Pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco tidak menolak untuk menyarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti kerana beliau telah jatuh hati dengan negara ini.

Menurutnya, Malaysia telah memberikannya banyak perkara dan beliau berharap mampu membuatkan negara ini dan rakyatnya bangga.


“Saya tahu perjalanan itu masih panjang, saya baru bermain di sini dua tahun tetapi saya boleh katakan yang amat sayangkan negara ini dan orang-orangnya. Cuba anda lihat berapa ramai pemain import yang nak belajar Bahasa Melayu? Tak ramai.

Saya tahu ia masih lama lagi tetapi saya harap dapat tunjukkan kepada rakyat Malaysia kemampuan saya dalam tempoh ini dan satu hari nanti dapat buat mereka bangga,”

katanya kepada Harimau Malaya

Menurutnya, beliau masih lagi mahu berada di KL City kerana merasakan tugasnya di kelab itu masih belum selesai.

Beliau juga telah berbincang dengan ketua pegawai eksekutif kelab, Stanley Bernard mengenai lanjutan kontrak walaupun mempunyai beberapa tawaran lain.

Sementara itu, beliau mengakui kecewa apabila tidak dipanggil oleh Australia untuk ke Piala Dunia Qatar baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan pemilihan pemain yang berada di liga lebih bawah daripada Liga Malaysia serta pemain-pemain yang tidak mempunyai minit permainan yang banyak.

“Jika ada sorang pemain yang bermain untuk Kedah dan seorang lagi bermain untuk Seoul, sudah pasti anda akan pilih yang bermain untuk Seoul kerana dia bermain di liga yang lebih baik bukan?

Saya juga tidak dihubungi sesiapa pun untuk menjelaskan mengenai perkara itu, saya bukan hanya bercakap untuk diri saya kerana terdapat beberapa pemain lain juga menghadapi benda sama.”

Beliau berkata, tindakan itu seolah-olah tidak menghormati tahap Liga Malaysia yang jelasnya lebih baik daripada Liga Australia.

Di peringkat Asia juga, beliau berkata, pasukan Malaysia telah membuktikan kualiti mereka di kejohanan peringkat Asia apabila Johor Darul Ta’zim melangkah ke pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL), manakala KL City mara ke perlawanan akhir Piala AFC, pencapaian yang lebih baik daripada mana-mana kelab Australia.

Disebabkan itu, Gallifuoco berkata, beliau kini sudah tidak mahu memikirkan lagi mengenai peluangnya utnuk mewakili Australia dan seolah-olah ‘menutup pintu’ untuk negara kelahirannya itu.

Menurutnya, beliau merasakan sudah cukup masa yang dihabiskannya untuk cuba menarik perhatian dan meyakinkan jurulatih Australia untuk mengambilnya mewakili negara.