Adakah skuad reunion ini bakal menyinar?
Hazwan Bakri dikhabarkan bakal menyertai skuad jurulatih lamanya iaitu skuad Sabah FC. Hazwan jarang diturunkan sewaktu berada di Johor Darul Takzim (JDT). Beliau sukar mendapat tempat kesebelasan utama setelah kecemerlangan yang dipamerkan penyerang import mereka iaitu Bergson Da Silva.
Hazwan Bakri banyak memanaskan bangku simpanan dan masuk hanya sebagai pemain gentian di minit-minit akhir perlawanan. Semenjak berhijrah ke JDT, Hazwan Bakri hanya berjaya melakukan 50 penampilan serta hanya berjaya menjaringkan 7 gol sahaja.
Kekurangan minit permainan menyebabkan beliau ingin bersatu kembali bersama jurulatih Datuk Ong Kim Swee yang pernah membimbingnya suatu ketika dahulu untuk beraksi bersama Sabah FC. Hazwan Bakri sebelum ini pernah dipanggil Datuk Ong Kim Swee untuk bermain bagi skuad kebangsaan.
Jika perpindahan ini berlaku, Datuk Ong Kim Swee bakal melengkapkan skuad reunionnya apabila dipenuhi dengan bekas pemain yang pernah beraksi bersamanya. Sebelum ini Sabah FC telah berjaya mendapatkan beberapa pemain yang juga bekas anak buah Ong Kim Swee antaranya Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail dan Rizal Ghazali.
Tetapi terdapat juga segelintir penyokong Sabah FC menyuarakan pendapat adakah pemain tempatan anak Sabah tidak dapat bermain dalam kesebelasan utama setelah Datuk Ong Kim Swee membeli ramai pemain dari luar Sabah. Mereka risau akan pembangunan bola sepak Sabah setelah anak kelahiran Sabah kurang mendapat tempat ditambah dengan kehadiran pemain import.