Shin Tae-yong akui Brunei lawan yang lemah, tidak dapat menilai tahap sebenar pasukan sebelum bertemu Thailand

343

Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong berhadapan dengan kesukaran untuk menilai semula tahap sebenar pasukan kendaliannya tatkala mereka berjaya meraih kemenangan mudah 7-0 ke atas Brunei pada perlawanan ketiga.

Ini membuatkan pengendali berasal dari Korea Selatan tersebut perlu menganalisa dengan lebih mendalam sebelum memilih kesebelasan utama bertemu lawan yang jauh lebih sukar, Thailand pada perlawanan terakhir kumpulan.


 “Semua pemain layak untuk mendapatkan gelaran pemain terbaik menurut saya.

Saya masih tidak dapat menilai kekuatan pasukan kerana lawan kami Brunei merupakan pasukan yang lemah, tetapi mungkin satu hal yang perlu diperbaiki adalah untuk memanfaatkan setiap peluang yang terhidang,”

katanya kepada media.

Meskipun telah mencapai dua kemenangan berturut-turut, beliau tidak ingin memberi jaminan bahawa keputusan yang sama dapat diraih pada perlawanan berikutnya memandangkan kualiti yang dimiliki oleh kesemua pemain yang dibawa oleh pasukan Thailand.  

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada perlawanan akhir Piala AFF 2020 di mana kemenangan telah berpihak kepada Thailand dengan keputusan agregat 6-2.

“Sukar untuk dijawab kerana bola sepak itu bulat, jadi saya tidak boleh memberi jaminan sekiranya kita mampu menang menentang Thailand.

Saya akan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin untuk memastikan perlawanan tersebut menarik.”

Beliau juga perlu memeriksa semula keadaan kesemua pemainnya berikutan beberapa kecederaan yang dialami sepanjang perlawanan ini berlangsung.

Buat masa ini, Tae-yong masih belum menerima sebarang laporan mengenai keadaan beberapa pemain yang terkesan namun beliau akan cuba memastikan pemainnya dapat terus berada di tahap yang terbaik.

“Saya tidak menjawab tentang Abimanyu kerana belum ada maklumat terperinci tentang kecederaan beliau.”

Tae-yong juga akui terkejut dengan kehadiran penyokong Indonesia yang datang membanjiri stadium bagi memberikan sokongan.

Jumlah kehadiran penyokong pada hari ini adalah sebanyak 5,439 dan majoriti daripadanya adalah penyokong Sang Garuda yang tidak henti memberikan sokongan sejak wisel pertama dibunyikan.

“Saya tidak menyangka kehadiran penyokong yang begitu ramai di sini.

Saya berterima kasih kepada penyokong yang hadir pada perlawanan hari ini.”