Setia bersama walau di mana, semangat penyokong Sang Garuda wajar dijadikan contoh

350

Semalam telah berlangsungnya perlawanan Piala AFF di antara Brunei menentang Indonesia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Aksi tersebut berakhir dengan kemenangan besar 7-0 berpihak kepada Indonesia yang ternyata berjaya mendominasi perlawanan seawal wisel pertama dibunyikan.


Di sebalik kejayaan ini, salah satu faktor yang dilihat menjadi antara penyebab utama adalah sokongan peminat negara tersebut yang tetap setia berada di belakang pemain meskipun beraksi di luar dari Indonesia.

Perkara yang sama dapat dilihat pada perlawanan menentang Brunei, di mana separuh daripada stadium yang berkapasiti 18,000 orang tersebut dipenuhi oleh lautan Merah Putih.

Mereka dilihat hadir ke perkarangan stadium seawal jam 3 petang meskipun perlawanan tersebut berlangsung pada sekitar 6 petang.

Kebanyakan daripada mereka merupakan warganegara Indonesia yang bekerja di sekitar Malaysia namun bukan sahaja di kawasan Lembah Klang bahkan ada yang sanggup hadir dari negeri yang lebih jauh seperti Pulau Pinang dan sebagainya.

Tambahan pula, perlawanan tersebut berlansgung pada hari cuti umum di Malaysia, ini membolehkan mereka memanfaatkan peluang tersebut untuk membanjiri stadium dan melaungkan sokongan tanpa henti kepada para pemain sepanjang 90 minit perlawanan.

Sekiranya ada yang berkesempatan untuk hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada perlawanan semalam semestinya dapat merasakan atmosfera tersebut seakan-akan berada di Gelora Bung Karno, stadium keramat Indonesia.

Terutama sekali, apabila ada gerakan-gerakan merbahaya yang berjaya dilakukan oleh pemain ke arah gawang lawan.

Lebih mengujakan, ketika pemain mereka berjaya menjaringkan gol demi gol, sorakan gegak gempita penyokong yang membanjiri stadium dilihat berjaya mematikan semangat pemain pihak lawan untuk kembali bangkit.

Semangat seperti inilah yang wajar menjadi contoh kepada peminat-peminat bola sepak bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Asia Tenggara.

Malah, perkara ini bukanlah hal yang baru tatkala Indonesia sememangnya terkenal dengan keterujaan bola sepak mereka terutama sekali apabila pasukan negara mereka beraksi.

Menarik untuk kita saksikan sekiranya pasukan Malaysia berkesempatan untuk bertemu Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada saingan Piala AFF kali ini.

Semestinya penyokong kedua-dua pasukan akan hadir untuk memenuhi stadium sepertimana yang sering berlaku sebelum ini setiap kali bertemu.

Dalam pada itu, pujian perlu juga diberikan kepada kumpulan penyokong Harimau Malaya yang pada ketika ini dilihat berada di Hanoi untuk memberikan sokongan kepada skuad negara pada aksi ‘hidup mati’ malam ini menentang Vietnam.

Sokongan pemain ke-12 ini akan menjadi tulang belakang buat para pemain untuk terus memberikan aksi yang terbaik di atas padang sekaligus merealisasikan impian mencapai kemenangan.