Terima kasih TMJ! Farkhan terus cemerlang harumkan nama Harimau Selatan di pentas tertinggi sukan tinju
Peninju negara, Farkhan Haron terus buktikan kemampuannya selepas berjaya meraih gelaran juara baru bagi kelas Bridgerweight Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia.
Kemenangan tersebut berjaya diraih oleh petinju tersebut selepas menewaskan lawan dari Turkiye, Yousof Mohammadiosmnvandi pada perlawanan yang berlansung di Arena Larkin.
Beliau berjaya memenangi aksi tersebut dengan mata 96-94, 96-96 dan 95-95 hasil daripada pengiraan yang dilakukan oleh tiga orang hakim berpengalaman.
Kejayaan ini membolehkan Farkhan melebarkan rekod kemenangannya kepada 12-0, satu pencapaian yang cukup hebat buat seorang petinju meskipun sudah mencapai usia 30an.
Di sebalik kejayaan ini, ada satu sosok individu yang perlu diberikan pujian serta pengiktirafan di atas kesudian dan kesanggupan beliau memberikan sepenuh sokongan kepada Farkhan.
Individu tersebut adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang ketika ini cukup terkenal dengan usaha yang dilakukan olehnya dalam mempertingkatkan kualiti sukan di Johor.
Ini termasuk dalam membantu Farkhan yang juga merupakan anak kelahiran negeri tersebut dari segi dana serta segala bantuan yang diperlukan bagi menyiapkan diri beliau sebelum melangkah ke dalam gelanggang.
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh petinju tersebut pada sekitar tahun 2016 yang lalu di mana hampir keseluruhan tajaan yang diterimanya sehingga membawa beliau ke tahap yang jauh lebih tinggi ini adalah daripada ikhsan TMJ yang berjaya melihat potensinya.
Ini termasuk dengan pemberian sebanyak RM4 juta yang telah diberikan kepadanya untuk menjalani latihan dua tahun di Amerika Syarikat bersama Mayweather Boxing Club.
TMJ juga dilihat tidak pernah putus memberikan dorongan dan kata semangat kepada petinju tersebut untuk terus berikan yang terbaik pada setiap perlawanan.
Terdahulu, Farkhan menghadapi pergelutan di dalam kariernya sebagai seorang petinju apabila dirinya tidak mendapat tajaan daripada mana-mana agensi kerajaan selepas membuat keputusan meninggalkan skuad kebangsaan pada tahun 2013.
Keputusan tersebut dibuat kerana beliau tidak melihat sebarang kemajuan yang dicapai olehnya sepanjang berada bersama pasukan tinju negara.
Tindakan tersebut nyata berjaya membuahkan hasil selepas beliau berjaya menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran Juara World Boxing Council (WBC) pada tahun 2016.
Oleh kerana itu, beliau cukup mengagumi dan terhutang budi dengan jasa TMJ dan segalanya terus terbalas selepas Farkhan terus berjaya mengharumkan nama negeri Johor dan Malaysia di perinkat antarabangsa.
Kemenangan Farkhan ini juga didekasikan kepada arwah ibunya yang baru sahaja meninggal dunia beberapa hari lalu.