Misi wajib menang menentang Singapura, adakah Vietnam akan sekali lagi ‘kenakan’ Malaysia?

2,668

Selepas tewas di tangan Vietnam 3-0 pada aksi ketiga Piala AFF semalam, pasukan kebangsaan kini berhadapan dengan misi wajib menang menjelang perlawanan terakhir bertemu Singapura pada 3 Januari, 2023.

Lebih-lebih lagi, kita perlu melihat terlebih dahulu keputusan daripada perlawanan di antara Vietnam dan Singapura yang bakal berlangsung pada 30 Disember ini.


Tidak mustahil, pasukan Singapura mampu melakukan kejutan pada aksi tersebut memandangkan mereka memiliki kelebihan beraksi di gelanggang keramat, Stadium Jalan Besar yang dikhabarkan bakal dibanjiri oleh penyokong.

Jika mereka menang ke atas Vietnam, Singapura akan melangkah ke perlawanan menentang Malaysia dengan sedikit kelebihan dan hanya perlu mencapai keputusan seri untuk layak.

Setakat ini, statistik atas kertas menunjukkan Vietnam memiliki kelebihan yang cukup besar untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara tatkala mereka hanya akan bertemu Myanmar pada perlawanan terakhir.

Dengan prestasi yang dipamerkan oleh Vietnam, rasanya tiada masalah untuk mereka mudah menundukkan Myanmar dengan jumlah jaringan yang banyak.

Jadi persaingan besar adalah untuk menentukan pasukan di tangga kedua di antara Malaysia dan Singapura yang bakal mengiringi Vietnam ke pusingan kalah mati.

Walau apapun keputusan pada perlawanan di antara Singapura dan Vietnam, kesemua pemain negara perlu terus memberikan fokus bagi memastikan kita mampu mencapai kemenangan pada perlawanan penutup untuk terus menghidupkan peluang mara ke peringkat separuh akhir.

Pemain tidak boleh memandang rendah pihak lawan kerana berdasarkan rekod pada lima perlawanan terakhir bertemu Singapura, Malaysia hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan iaitu pada Piala AFF 2014 dengan keputusan 3-1.

Selain daripada itu, Malaysia hanya mencatatkan satu keputusan seri serta tiga kekalahan termasuk pada pertemuan terakhir kedua-dua negara di saingan FAS-Tri Nation Series Mac lalu.

Malaysia akur dengan kualiti pemain Singapura yang telah mengatasi mereka pada ketika itu menerusi dua gol yang berjaya dijaringkan oleh penyerang muda, Ikhsan Fandi.

Terdapat beberapa pemain Singapura yang beraksi pada perlawanan tersebut masih kekal bersama skuad di Piala AFF kali ini.

Antaranya adalah Christophe Van Huizen, Nazrul Nazari serta pemain naturalisasi dari Korea Selatan, Song Ui-yong.

Manakala untuk Malaysia, pemain yang masih kekal adalah Faisal Halim, Safawi Rasid serta Dominic Tan.

Mungkin ketiga-tiga pemain ini dapat memberi sedikit sebanyak petunjuk terhadap perkara yang perlu dilakukan bagi mengelakkan keputusan sama berulang kembali memandangkan kita sememangnya memerlukan tiga mata.

Meskipun Ikhsan tidak dapat beraksi kali ini ekoran daripada kecederaan yang dialami sebelum kejohanan bermula, pertahanan negara tetap perlu berwaspada dengan ancaman daripada adiknya, Ilhan Fandi yang kini muncul antara penyerang muda Asia Tenggara yang semakin menonjol dan berbisa.

Walau bagaimanapun, beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil mungkin akan menjadi kelebihan besar buat pasukan Malaysia.

Besar harapan pemain untuk melihat penyokong Harimau Malaya dapat sama-sama bersatu hati untuk turun membanjiri stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan.

Sokongan pemain ke-12 ini akan mampu menyemarakkan kembali semangat kesemua pemain yang bakal menggalas tanggungjawab di atas padang pada malam tersebut.

Ayuh Ekor Harimau Sejati!

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen