P. Maniam sasar PJ City FC top 5 untuk musim 2022

358

Ketua jurulatih pasukan berpengkalan di PJ City FC, P. Maniam telah meletak sasaran untuk berada pada kedudukan top 5 untuk Liga Super musim hadapan.

Walaupun menjadi satu-satunya pasukan di Liga Super yang menggunakan semua pemain tempatan, namun P. Maniam tidak melihat ia sebagai satu kekurangan sebaliknya percaya dengan dengan pemain-pemainnya untuk beraksi dengan baik.


“Saya gembira dengan pihak pengurusan PJ City FC yang mahu mengekalkan konsep #YakiniLokal untuk musim depan dan sasaran kita untuk musim hadapan adalah untuk berada pada keudukan top 5 dalam Liga Super.

Dengan gabungan pemain muda dengan pemain berpengalaman seperti Khyril Muhymeen, Mahalli Jasuli dan Gurusamy Govandar kita mampu memberikan terbaik dalam setiap perlawanan,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

PJ City FC antara salah satu pasukan yang terawal memulakan sesi latihan persiapan untuk saingan musim hadapan.

P. Maniam berkata dia sangat teruja melihat pemain-pemain tempatan yang sangat berdisiplin, beri komitmen tinggi dan sentiasa mempamerkan sifat positif dalam pasukan.

Dalam pada itu, bekas pemain negara ini turut berbangga apabila beberapa pemainnya berjaya mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan Malaysia, dan salah seorangnya adalah Kogileswaran Raj yang telah mempamerkan aksi yang cukup bertenaga ketika di saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.

Sumber foto: PJ City FC Facebook

Sementara itu, P. Maniam juga sangat menekankan soal keharmonian dalam pasukan yang mana ia dapat membantu pasukan untuk sentiasa kekal positif.

“Tidak dapat dinafikan musim ini kami banyak kalah tetapi saya sentiasa tekankan kepada pemain-pemain saya untuk tidak terlalu fikirkan soal kekalahan atau menyalahkan sesiapa, sebaliknya terus kekal positif dan fokus pada perlawanan seterusnya dan berusaha untuk cipta kemenangan.”

PJ City FC ketika ini sudah pun mengumumkan beberapa pemain yang akan terus bersama pasukan antaranya Mahalli Jasuli, Darren Lok, Gurusamy Govandar, Filemon Anyie, Kalamullah Al-Hafiz, Sunil Chandran dan Kogileswaran Raj.

Sumber foto: PJ City FC Facebook

Selain itu, beberapa bekas pemain PJ City FC sebelum ini termasuk muka baru akan turut memperkuatkan pasukan untuk musim 2022. Bagaimanapun P. Maniam tidak dapat mendedahkan pemain-pemain tersebut buat masa ini kerana pihak pengurusan mahu membuat satu pengumuman rasmi pada awal Januari ini.

Pada musim 2021 PJ City FC telah berjaya menduduki tempat ketujuh dalam Liga Super dengan rekod 6 menang, 6 seri dan 10 kekalahan.