Lee Chong Wei diangkat sebagai ‘GOAT’ atasi Lin Dan, wujud pertikaian dari peminat badminton dunia

4,607

Legenda badminton dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei baru-baru ini telah dinobatkan sebagai pemain terbaik sepanjang zama atau lebih dikenali sebagai Greatest of All Time (GOAT) dalam acara sukan tersebut.

Ini adalah hasil daripada kiraan mata yang telah dikeluarkan oleh Badminton Statistics yang menunjukkan DLCW mendahului carta dengan pungutan tertinggi.


Beliau meraih 841 mata hasil daripada beberapa kejayaan yang dicapainya termasuk mengekalkan kedudukan di ranking No. 1 Dunia selama 395 minggu bersamaan dengan tujuh tahun lebih.

Satu pencapaian yang cukup menakjubkan sehingga belum ada lagi mana-mana pemain dari Malaysia yang berjaya mengulangi kejayaan tersebut buat masa ini.

Walau bagaimanapun, gelaran GOAT yang diberikan ini telah menimbulkan pertikaian di kalangan peminat badminton dunia tatkala musuh tradisinya, Lin Dan dari China dilihat lebih layak diberikan penghargaan ini.

Lin Dan berada di tangga kedua dengan pungutan mata sebanyak 739 hanya dibezakan 102 mata di belakang DLCW.

Peminat badminton dunia melihat bahawa Lin Dan perlu diangkat menjadi GOAT tatkala beliau sebenarnya lebih cemerlang meraih kejayaan di peringkat tertinggi seperti dua pingat emas di Sukan Olimpik serta lima kali memenangi Kejuaraan Dunia.

Berbeza dengan DLCW yang sekadar meraih tiga pingat perak di Sukan Olimpik serta hanya menamatkan saingan Kejuaraan Dunia di tangga kedua sebanyak tiga kali.

Perbandingan head-to-head bagi kedua-dua pemain di pentas tertinggi inilah yang menjadi salah satu faktor mengapa mereka lebih memilih Lin Dan berbanding DLCW.

Malah, berdasarkan rekod pertemuan, Lin Dan mendahului selepas beliau mencapai 28 kemenangan ke atas DLCW daripada 40 pertemuan sepanjang kariernya.

Faktor terbesar Lin Dan berada di tangga kedua adalah disebabkan beliau kurang menyertai kejohanan dan hanya menumpukan kepada pentas terbesar dunia sahaja.

Berbeza dengan DLCW yang sentiasa mengambil bahagian dalam kebanyakan kejohanan yang membolehkan beliau mengumpul mata demi mata ditambah dengan kualiti permainannya ketika itu yang jauh lebih baik berbanding pemain lain.

Sama seperti bola sepak, pendebatan dua legenda ini tidak akan pernah selesai namun perlu diakui bahawa mereka telah membuktikan kehebatan masing-masing sepanjang bergelar pemain.

Perseteruan dua bintang dunia ini akan terus menjadi memori terbaik kepada semua peminat yang telah mengikuti perkembangan badminton dunia sekian lama.

Buat masa ini, belum dapat dilihat mana-mana persaingan pemain bagi sektor perseorangan lelaki yang dapat menyamai pertembungan di antara DLCW dan Lin Dan.

Acara perseorangan lelaki ketika ini dilihat hanya didominasi oleh pemain Denmark, Viktor Axelsen yang nyata unggul setiap kali turun beraksi.

Harapnya dalam tempoh terdekat akan ada pemain dari Malaysia yang dapat mengulangi semula kejayaan demi kejayaan yang pernah diraih oleh DLCW dalam mengharumkan nama negara.