Tahun baru, harapan baru! Memperkenalkan logo terbaru Harimau Malaya!

1,896

Pejam celik, pejam celik, portal Harimau Malaya (www.harimaumalaya.com.my)  sudah pun setahun bertapak dalam industri media sukan tanah air.

Ya, usia portal Harimau Malaya baru setahun, tetapi page Facebook Harimau Malaya sudah lama wujud untuk dijadikan sebagai medium untuk menyatupadukan seluruh peminat sukan tanah air, termasuk menjadi tempat untuk berkomuniti, memberi pandangan dan juga turut serta dalam perbincangan.


Dengan adanya portal ini, team Harimau Malaya dapat memberi dan menyampaikan berita-berita terkini mengenai dunia sukan terutamanya sukan tanah air seperti bola sepak, badminton, hoki, esports, olahraga dan pelbagai lagi.

Sepanjang tempoh setahun bergelar sebagai pengamal media sukan, pelbagai cabaran, dugaan yang terpaksa diharungi termasuk kenangan manis oleh team Harimau Malaya dalam usaha untuk menyampaikan berita-berita sukan kepada pembaca dan pengikut setia Harimau Malaya.

Oleh itu, bersempena dengan ulang tahun pertama, Harimau Malaya bakal membuat perubahan dari segi penjenamaan yang mana bermula tahun 2023, kami akan memperkenalkan logo baru yang lebih fresh & edgy dan akan diguna pakai di seluruh platform Harimau Malaya.

Dengan logo baru, Harimau Malaya juga akan tampil dengan azam dan harapan yang baru untuk tahun hadapan.

Antara azam dan harapan kami untuk tahun 2023 adalah untuk terus melebarkan sayap bukan sahaja dalam negara tetapi juga hingga ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, Harimau Malaya juga akan terus meneroka cabang sukan lain yang sering terpinggir dan bukan semata-mata bola sepak sahaja.

Walaupun sukan sememangnya didominasi oleh lelaki, tetapi kami di Harimau Malaya akan terus memberi sokongan dan dukungan penuh buat sukan wanita yang mana sebelum ini dipandang enteng dan kurang mendapat perhatian.

Tidak lupa juga kami akan terus membawa kisah-kisah kemanusiaan dan memberi tumpuan kepada golongan yang diabaikan, di samping peringkat akar umbi.

Fokus utama dalam pembikinan logo baru ini dibuat berdasarkan tiga elemen iaitu Tahun Baru, Harapan Baru dan Generasi Baru.

Logo baru Harimau Malaya kali ini tidak sarat dengan butiran rekaan rumit, sebaliknya ia adalah logo yang bersifat simple dan moden.

Untuk penggunaan warna pula, warna hitam dan kuning yang digunakan adalah untuk melambangkan warna pasukan kebangsaan Malaysia termasuk penggunaan identiti haiwan harimau.

Manakala untuk latar belakang pula adalah tribute kepada logo lama dengan fokus kepada matanya yang tajam, sekaligus memberi gambaran mengenai kebangkitan Harimau Malaya.

Harimau Malaya akan mempunyai satu lagi logo yang sama tetapi akan menggunakan warna Jalur Gemilang sebagai simbol patriotism, dengan warna utama berwarna biru melambangkan ketenangan dan kesabaran dalam mencapai kejayaan.

Logo baru Harimau Malaya akan mula digunakan di portal dan seluruh platform media sosial kami bermula 1 Januari 2023 ini.

Dengan logo baru ini juga ia akan membuka ruang dan peluang kepada kami untuk menjalin kerjasama atau kolaborasi dengan mana-mana pihak termasuk penghasilan merchandise rasmi Harimau Malaya pada masa akan datang.

Terima kasih atas sokongan semua! Kita akan terus berusaha demi sukan Malaysia!