Setiap pemain negara mampu menjaringkan gol – Mukhairi Ajmal
Pemain tengah pasukan kebangsaan, Mukhairi Ajmal memberitahu bahawa setiap pemain negara termasuk dirinya mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol.
Mukhairi berkata demikian sekiranya pada perlawanan akan datang Faisal Halim dan Lee Tuck dirantai pemain lawan.
“Saya rasa semua pemain boleh jaringkan gol, dan peluang untuk saya jaringkan gol memang ada sebelum ini tapi belum masuk lagi. InsyaAllah lawan Singapura nanti ada peluang lagi untuk saya, saya akan cuba jaringkan gol,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau juga mendedahkan bahawa ketua jurulatih Kim Pan-gon memberinya peluang untuk bermain menyerang kerana mahu melihat kemampuannya.
Pemain Selangor FC itu juga berharap beliau dan rakan sepasukan dapat memanfaatkan set piece kerana sepanjang kempen Piala AFF 2022 kali ini mereka belum lagi menjaringkan gol menerusi taktik ini.
“Dalam setiap latihan coach sentiasa menekankan tentang pentingnya set piece kerana sepanjang AFF ni kita belum jaringkan gol dari set piece lagi, jadi saya harap perlawanan menentang Singapura nanti kita dapat jaringkan gol dari sini.”
Malaysia yang beraksi dalam Kumpulan B berjaya mengutip enam mata selepas tiga perlawanan menerusi dua kemenangan; dan satu kekalahan di tangan Vietnam baru-baru ini.
Skuad Harimau Malaya akan menentang Singapura pada perlawanan terakhir pada 3 Januari 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan misi wajib menang sekiranya mahu mara ke peringkat separuh akhir.