K. Gurusamy: Pemain tempatan lagi bagus dari pemain naturalisasi

537

Kapten pasukan PJ City FC dan bekas pemain skuad kebangsaan, K. Gurusamy menyuarakan keyakinannya terhadap pemain tempatan berbanding pemain naturalisasi untuk menyarung jersi Malaysia.

Gurusamy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program naturalisasi negara terutamanya pada saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan.


Untuk pemain naturalisasi saya kurang bersetuju kerana berdasarkan perlawanan yang dapat kita lihat persembahan mereka ini tidak seperti yang diharapkan, malah pemain tempatan lebih hebat beraksi.

Malangnya pemain-pemain tempatan ini tidak mendapat tempat. Jadi saya berharap sangat selepas ini pengendali skuad kebangsaan dapat memberi peluang terutamanya kepada pemain-pemain muda tempatan,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: PJ City FC Facebook

Pada masa sama Gurusamy berkata pemilihan pemain untuk menyarung jersi kebangsaan juga perlu dibuat menerusi penilaian prestasi semasa dan minit permainan.

“Saya lihat ramai pemain-pemain yang bukan sahaja mempunyai minit permainan yang banyak tetapi juga beraksi baik di liga, tapi malangnya tidak dipanggil untuk sertai skuad kebangsan. Jadi saya harap lepas ini akan ada perubahan dan lebih banyak peluang diberi kepada pemain tempatan terutamanya pemain muda.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya bersama pasukan PJ City FC untuk saingan Liga Super 2022, Gurusamy teruja dapat kembali turun padang untuk berlatih bersama rakan sepasukan.

Menurut Gurusamy, musim hadapan PJ City FC akan tampil dengan misi untuk berada di kedudukan top 5 Liga Super 2022, jadi dengan rancangan jurulatih menggabungkan pemain senior dan muda dilihat mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

Sebagai kapten pasukan, Gurusamy sangat mengambil berat terhadap pemain-pemain muda dan akan sentiasa memberi motivasi dan tunjuk ajar untuk melonjakkan kualiti permainan mereka.

Pada masa sama dia juga sangat mementingkan keharmonian dalam kalangan pemain kerana ia sedikit sebanyak dapat menaikkan moral pasukan untuk terus memberikan yang terbaik.