Terbuka Malaysia 2023 ujian sulung Lee Zii Jia beraksi tanpa jurulatih, sama ada tindakan tepat atau sebaliknya

401

Sejak berpisah dengan jurulatihnya, Indra Wijaya pada November lalu, pemain badminton nombor dua dunia, Lee Zii Jia hanya berlatih dengan bantuan rakan sepelatih, Liew Daren.

Pemain itu juga nampaknya lebih selesa berlatih tanpa jurulatih ketika ini kerana menyatakan bahawa beliau tiada perancangan untuk melantik jurulatih baru.


Ini satu perkara yang agak mengejutkan dan satu percaturan yang penuh berisiko memandangkan prestasi beliau agak menurun dalam beberapa kejohanan terdahulu.

Namun, ia juga mungkin satu tindakan tepat daripada beliau bagi mencari ‘angin baru’ dari segi pendekatan permainan dan latihan yang baru.

Pentas Terbuka Malaysia 2023 adalah medan sulung untuk menguji tahap kemampuan beliau bergerak tanpa seorang jurulatih.

Beliau bakal berdepan cabaran hebat daripada bintang yang sedang meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka yang sudah boleh dianggap perseorangan utama negara itu menggantikan Kento Momota yang prestasinya merudum.

Zii Jia harus menunjukkan bahawa keputusannya untuk bergerak tanpa jurulatih adalah sesuatu yang tepat dengan menunjukkan prestasi yang baik pada kejohanan ini.

Jika tidak, mungkin beliau terpaksa membuat pusingan U serta akur bahawa bergerak tanpa jurulatih adalah satu perkara yang sukar, dan kembali mendapatkan seorang jurulatih berkaliber untuk membimbing dirinya.

Tambahan pula, kelayakan Sukan Olimpik 2024 bakal bermula pada Mei ini bermula dengan Kejohanan Piala Sudirman 2023, justeru beliau harus segera meningkatkan prestasinya.

Sekiranya prestasinya terus merudum, kedudukannya di tangga kedua dunia bakal tergugat dan mungkin kekecewaan tidak layak untuk ke Kejohanan Akhir Dunia BWF 2022 akan berulang kembali.

Namun, Zii Jia ketika ini sudah kembali berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dalam sesi latihan bersama yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Justeru, ia diharap mampu memberi manfaat buat dirinya dalam usaha untuk mengembalikan prestasinya dengan fasiliti terbaik yang ada di situ.

Ramai penyokong yang meletakkan kepercayaan tinggi kepada Zii Jia dan berharap pemain itu dapat kembali menemui rentaknya seperti ketika menjuarai dua kejohanan pada tahun ini iaitu Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand.

Zii Jia sebelum ini mengatakan bahawa beliau menyasarkan untuk mendapatkan tiga atau empat gelaran tahun ini.

Menurutnya, memenangi tiga atau empat gelaran pada tahun ini adalah penting bagi mempertahankan kedudukannya di tangga kedua dunia.