Presiden FIFA mahu semua negara namakan stadium sempena Pele, Mokhtar Dahari patut dapat penghargaan itu di Malaysia daripada dulu lagi

1,590

Pemergian legenda bola sepak dunia, Pele pada 30 Disember lalu masih lagi dirasai oleh rata-rata peminat bola sepak di seluruh dunia.

Jasad bekas pemenang tiga Piala Dunia itu ditempatkan di Stadium Vila Belmiro bagi upacara penghormatan terakhir hari ini sebelum disemadikan di kampung halamannya, Santos esok.


Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino yang hadir pada upacara itu berkata, beliau akan meminta semua negara di seluruh dunia untuk menamakan salah satu stadium di dalam negara dengan nama Pele sebagai salah satu penghormatan kepada bintang yang dianggap sebagai salah satu pemain terbaik dunia itu.

Beliau berkata, Pele merupakan ikon yang amat besar dalam sukan bola sepak dan langkah itu dapat memastikan ramai generasi muda mengetahui kepentingannya dalam sukan berkenaan.

Ini bermakna, Malaysia juga tidak terkecuali daripada perkara itu memandangkan turut bernaung di bawah badan induk bola sepak dunia itu.

Namun, sehingga kini, legenda yang dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat di negara ini, Mokhtar Dahari masih tidak mempunyai stadium yang dinamakan atas namanya selepas kira-kira 32 tahun pemergiannya.

Sepatutnya, beliau layak mempunyai stadium yang dinamakan atas namanya berdasarkan sumbangannya terhadap bola sepak di negara ini.

Bukan sahaja rekod dalam negara, Mokhtar juga membanggakan Malaysia di mata dunia dengan rekod gol antarabangsa sebanyak 89 gol, melebihi Pele yang menjaringkan 77 gol.

Beliau berada di tangga keempat dengan hanya Cristiano Ronaldo, Ali Daei dan Lionel Messi yang berjaya memintasnya.

Malah di luar negara contohnya di Itali, kelab Serie A, Napoli menamakan stadiumnya sebagai Stadio Diego Armando Maradona sebagai penghormatan kepada legenda kelab itu, Diego Maradona walaupun beliau merupakan warga Argentina.

Berdasarkan pencapaian yang diraihnya di dalam dan luar negara, legasi Mokhtar layak diabadikan sebagai satu nama buat stadium di negara ini.

Mungkin pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh bekerjasama dalam menjadikan ia satu kenyataan.

Ia bukan sahaja dapat ‘membalas jasa’ Mokhtar dalam mengharumkan nama negara di mata dunia, tetapi dapat memastikan generasi muda di negara ini mengenali dengan lebih mendalam ikon bola sepak Malaysia itu.

Agak mengecewakan sekiranya nama Pele menjadi salah satu nama stadium di negara ini sedangkan Mokhtar pula tidak mendapat penghormatan sebegitu.