Saya memang jangkakan saat ini, mereka dah banyak berkorban sejak lima minggu lalu – Kim Pan-gon

854

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh anak-anak buahnya sejak lima minggu lalu yang menjadi punca Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan penting ke atas Singapura sebentar tadi untuk mara ke separuh akhir Piala AFF.

Menurutnya, beliau telah menantikan saat ini dan memang sudah menjangkakan anak buahnya mampu mencatatkan kemenangan ini berdasarkan pengorbanan yang mereka lakukan.


“Saya lihat mereka mempunyai bakat dan mereka berjaya serlahkan potensi mereka, kita dapat lihat kesungguhan dan semangat mereka di atas padang.

Saya rasa ini salah satu persembahan terbaik mereka sejak saya ambil alih. Saya dah tunggu saat ini kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh selama lima minggu lalu, berjauhan dari keluarga,” katanya.

Pan-gon turut mengucapkan terima kasih kepada 65,147 penyokong yang hadir ke stadium malam ini untuk memberi sokongan kepada para pemain.

Beliau mengakui, sokongan padu yang diterima membantu anak-anak buahnya turun dengan bersemangat untuk mendapatkan kemenangan 4-1.

“Terima kasih banyak kepada semua penyokong yang hadir malam ini dan memberi semangat kepada kami, saya sangat bangga melihat sokongan yang diberikan oleh mereka.

Saya sangat hargai sokongan mereka dan tahniah kepada para pemain kerana menghiburkan mereka.”

Sementara itu, pemain tengah, Stuart Wilkin berkata ia adalah ibarat mimpi buat dirinya apabila menjaringkan dua gol di hadapan lebih 65,000 penyokong Malaysia malam ini.

Katanya, beliau akan tetap cuba meningkatkan lagi tahap permainannya selepas ini, dan terus belajar daripada pemain senior dan jurulatih.

Menurutnya, segala usaha yang ditunjukkan oleh pemain serta jurulatih sejak awal sesi latihan berjaya ditunjukkan pada malam ini.