Catat rekod kehadiran tertinggi peringkat kumpulan, tetapi mentaliti ‘sampah’ masih ada

1,005

Kemenangan bermakna 4-1 Malaysia ke atas Singpura semalam untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2022 tidak akan menjadi kenyataan tanpa kehadiran 65,147 penyokong setia yang hadir di Stadium Nasional Bukti Jalil.

Jumlah itu menyaksikan perlawanan itu berjaya mencatat rekod kehadiran tertinggi bagi peringkat kumpulan Piala AFF kali ini, mengatasi kehadiran di Stadium Gelora Bung Karno ketika perlawanan Indonesia menentang Thailand iaitu seramai 49,985.


Ini adalah satu perkara yang begitu membanggakan dan membuktikan penyokong sanggup berkorban untuk Harimau Malaya walaupun cuaca sebelum perlawanan hujan ribut dan perlawanan diadakan ketika hari bekerja.

Di sebalik sokongan padu yang diberikan, terdapat satu perkara yang masih lagi mengecewakan berkenaan dengan penyokong tempatan iaitu masalah sampah sarap yang dibuang merata-rata selepas perlawanan.

Sebelum perlawanan semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ada mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan stadium.

Namun, pagi ini masih lagi kelihatan sampah sarap merata-rata di kawasan perkarangan SNBJ.

Ada juga segelintir yang bising kekurangan tong sampah sebagai alasan sampah dibuang merata-rata tetapi sebenarnya ia bergantung sepenuhnya kepada mentaliti sesorang itu.

Mentaliti kelas ketiga seperti ini harus dikikis ddlam kalangan penyokong Malaysia kerana ia tidak baik untuk reputasi negara.

Apa gunanya orang luar terpegun dengan kehebatan penyokong dan Ultras Malaya memberi sokongan padu sepanjang perlawanan tetapi akhirnya melihat kebersihan tidak diutamakan.

Selepas ini, Malaysia akan turun menentang Thailand sekali lagi di SNBJ pada Sabtu ini, dan kali ini diharapkan rakyat Malaysia akan lebih peka mengenai isu kebersihan.

Namun sedikit berita yang agak mengecewakan adalah, penyokong Malaysia nampaknya tidak mampu memecahkan rekod kehadiran pada perlawanan semalam Sabtu ini kerana jumlah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa hanya 59,000 keping tiket yang akan dijual.

Menurut FAM sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Berita baiknya pula adalah, harga tiket tetap akan dikekalkan bagi perlawanan separuh akhir itu di mana ia akan dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

Walaupun tidak dapat mengatasi rekod kehadiran semalam, diharapkan kesemua 59,000 tiket tersebut akan terjual sepenuhnya, lebih-lebih lagi ia bakal berlangsung pada hari Sabtu.

Pengendali Singapura, Takayuki Nishigaya selepas perlawanan semalam turut mengakui bahawa sukar untuk bermain di SNBJ yang dipenuhi puluhan ribu penyokong Malaysia.

Justeru itu, ramai-ramai penuhkan SNBJ pada Sabtu ini dan paling penting adalah, utamakan kebersihan sebelum, semasa dan juga selepas perlawanan!