Jika lebih ramai pemain contohi keberanian Mickey, mungkin kelab lebih takut untuk cari pasal dengan pemain

3,647

Kira-kira dua minggu lalu, pemain sayap kebangsaan mencetuskan kontroversi apabila memuatnaik satu tweet yang meminta bekas kelabnya, Terengganu FC supaya memulangkan haknya.

Menjelaskan perkara itu, Faisal berkata beliau mahu pengurusan Terengganu untuk memulangkan pemotongan gaji yang dilakukan terhadap gaji terakhirnya gara-gara apa yang diperkatakan oleh beliau kepada media.


Namun perkara itu nampaknya sudah selesai selepas pemain yang lebih dikenali sebagai Mickey itu berkata pihak Terengganu sudah melangsaikan baki gajinya yang dipotong itu.

Beliau meminta maaf atas salah faham sebelum ini dan berkata isu antara beliau dan kelab itu sudah selesai.

Di Malaysia, tidak ramai pemain yang vokal dan berani bersuara seperti Faisal apabila hak mereka tidak diberikan, dalam isu ini gaji.

Sebelum ini juga sudah banyak contoh di mana pemain tidak mendapat gaji mereka selama berbulan-bulan, tetapi hanya memilih untuk berdiam diri.

Ia berbeza dengan pemain-pemain import yang lebih berani untuk tampil ke hadapan dan membawa ke muka pengadilan termasuklah melaprkan ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sehingga ada kelab yang didenda oleh badan induk bola sepak dunia itu, seperti yang berlaku dalam kes Sarawak United FC dan Sandro da Silva.

Apa yang dilakukan oleh Faisal ini boleh dijadikan contoh buat pemain-pemain lain dalam menuntuk hak mereka dan tidak membiarkan pihak pengurusan kelab menindas mereka.

Musim ini juga, sudah beberapa pasukan yang menghadapi isu tunggakan gaji, contohnya Melaka United Sarawak United.

Baru-baru ini juga terdapat beberapa pemain dari Melaka United yang akhirnya membuka mulut mengenai isu gaji, tetapi itupun setelah beberapa bulan tidak dibayar.

Pihak pengurusan juga akan lebih takut untuk menganiaya pemain kerana tidak mahu pekung mereka dibuka kepada orang awam.

Isu gaji memang sudah sekian lama berlaku di Liga Malaysia, walaupun pemain-pemain sudah menyalurkan aduan mereka ke saluran yang betul, banyak kelab nampaknya yang tidak takut.

Mungkin cara lain yang lebih efektif adalah dengan mendedahkan salah laku kelab kepada awam, barulah ia berhasil.