Kecewa stadium tak dapat ‘full house’ sebab konsert, tapi gembira tiket ‘sold out’ – Quentin Cheng

1,353

Pertahanan kebangsaan, Quentin Cheng mengakui agak kecewa apabila tidak berpeluang bermain di hadapan stadium ‘full house’ dengan penyokong Harimau Malaya Sabtu ini gara-gara struktur konsert yang sudah didirikan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaubagaimanapun, beliau berharap semua yang berpeluang hadir dapat memberi sokongan yang padu kepada semua pemain pada perlawanan itu.


“Sudah tentu sedikit mengecewakan kerana jika tidak saya yakin stadium akan penuh daripada sebelum ini, tetapi tiada apa yang kami boleh lakukan.

Sekarang pun tiket dah sold out dan semua pemain gembira mengenai itu, saya harap semua penyokong dapat bersorak dengan sekuat boleh dan tetap berikan sokongan walaupun kami ketinggalan,”

katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan untuk berdepan juara bertahan, Thailand dan percaya ketua jurulatih, Kim Pan-gon mempunyai resipi sendiri untuk perlawanan itu.

Menurutnya, tugas di bahagian kanan pertahanan pastinya sukar untuk berdepan sayap lawan yang laju tetapi yakin beliau dapat menjalankan tugas dengan baik dengan bantuan rakan-rakan.

“Kami yakin untuk menentang mana mana pasukan pada kejohanan ini, jurulatih telah berikan taktikal dan kami hanya perlu ikut sahaja apa yang beliau mahukan.

Jika kami dapat berikan permainan terbaik, saya yakin kami mampu kalahkan sesiapa sahaja.”

Tambahnya, beliau sudah bersedia untuk menjalankan tugas menyerang dan bertahan pada perlawanan itu.

Beliau mengakui Thailand adalah sebuah pasukan yang hebat tetapi menegaskan ia adalah cabaran yang baik untuk meningkatkan tahap permainannya.