Saya gembira ada konsert Jay Chou di sini kerana Malaysia kekurangan puluhan ribu penyokong – Alexandre Polking

2,519

Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking gembira dengan penganjuran konsert Jay Chou di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana bakal ‘melemahkan’ sokongan terhadap Malaysia.

Beliau mengakui perkara itu memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya tetapi tetap menjangkakan sokongan padu daripada peminat Harimau Malaya.


“Saya akui kami sedikit bernasib baik dengan penganjuran konsert di sini kerana akan mengurangkan tempat duduk sebanyak 21,000.

Tapi ia masih akan menjadi sukar buat kami kerana suasana di stadium ini memang hebat, masih ramai yang akan memberi sokongan,”

katanya.

Beliau berkata, kekuatan mental adalah penting untuk menghadapi perlawanan sebesar ini dengan suasana yang hebat.

Menurut Polking, beliau percaya anak buahnya mampu menyerap tekanan selepas mengharungi cabaran di laman Indonesia.

“Apa yang berlaku di Indonesia adalah tidak normal, apa yang normal adalah di sini, juga di Thailand.

Saya percaya perlawanan di Indonesia sebelum ini adalah pemangkin buat kami untuk terus lebih kuat dari segi mental.”

Sementara itu, beliau memuji ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon yang disifatkannya sebagai seorang jurulatih yang bagus.

Katanya, Pan-gon mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak Korea Selatan dan ia adalah satu perkara yang mengagumkan.

Dalam pada itu, beliau menjangkan perlawanan esok akan menjadi sukar buat anak buahnya kerana kedua-dua pasukan mempunyai kualiti yang hebat walaupun kehilangan ramai pemain.