Kami dianggap bukan pasukan terbaik, tetapi kami berjaya buktikan kami layak berada di sini – Brendan Gan

876

Kapten Harimau Malaya, Brendan Gan menyifatkan kekuatan skuad Piala AFF kali ini adalah mereka percaya dengan kemampuan masing-masing dan sentiasa berjuang habis-habisan untuk membuktikan mereka layak mewakili negara.

Menurutnya, walaupun pasukan ini dianggap bukan pasukan yang terbaik, mereka tetap kekal positif dan tidak pernah putus asa.


“Media kata kami bukan pasukan yang terbaik, tetapi kami bekerjasama untuk buktikan kami adalah yang terbaik dan berjuang untuk satu sama lain.

Anda dapat rasakan aura positif dalam pasukan ini, semua pemain sentiasa berikan 100 peratus, itu adalah sikap yang membawa kami ke separuh akhir,”

katanya.

Beliau mengakui tidak mudah bertemu Thailand pada perlawanan esok kerana setiap pertemuan antara kedua-dua pasukan akan menampilkan permainan yang berbeza.

Katanya, semua pemain Thailand mempunyai kualiti individu yang baik tetapi Malaysia hanya akan fokus kepada permainan sendiri.

Tambahnya, hanya kemenangan yang menjadi sasaran untuk pasukan negara esok sebagai bekalan untuk separuh akhir kedua.

“Kami nak bermain ikut cara kami, kami tak mahu terpengaruh dengan cara mereka, kami mahu jaringkan gol sebanyak yang boleh pada perlawanan esok.

Sudah tentu hanya kemenangan keputusan yang boleh diterima, walau apa pun yang terjadi kami harus catatkan kemenangan.”

Beliau juga tidak sabar untuk bermain di hadapan 59,000 penyokong Harimau Malaya esok dan begitu teruja tiket telah habis dijual.

Tambahnya, pasukan kini sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok dari segi mental dan fizikal.