Taktikal KPG bukan jenis yang sabar, beliau akan tekan pihak lawan dari awal lagi – Norshahrul Idlan

1,547

Bekas pemain sayap kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha percaya dengan sentuhan Kim Pan-gon untuk membawa kejayaan kepada skuad kebangsaan pada Piala AFF kali ini.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya bersama jurulatih itu, beliau menerapkan gaya permainan yang agresif dan sentiasa dahagakan gol.


“Taktikal Pan-gon memang bukan stail yang sabar, saya pernah berlatih di bawah beliau Jun lalu, beliau memang akan tekan lawan dari bahagian atas seperti yang dilakukan sekarang.

Saya lihat kebanyakan pemain yang ada sekarang kali pertama main di pentas separuh akhir Piala AFF, jadi saya harap Pan-gon dapat memberi motivasi buat mereka,”

katanya.

Beliau berkata, adalah penting untuk mencari gol lebih sebagai bekalan ke Bangkok selepas ini kerana ia perlawanan yang sukar.

Katanya, Thailand mempunyai pemain yang hebat dan berkualiti tetapi tidak mustahil untuk mencatat kemenangan ke atas mereka.

“Majoriti pemain mereka berpengalaman cukup luas, ada yang bermain main Liga Jepun, Liga Thailand juga lebih baik dari liga kita, kalau boleh pemain kita kena cari gol awal dan bekalan sebanyak yang boleh untuk ke Bangkok.

Jika ketinggalan di sini pun tidak mustahil untuk kita kembali semula di Bangkok, ketika zaman saya dulu pun kita pernah bangkit ketika di Hanoi menentang Vietnam.”

Katanya, apa yang penting adalah sikap dan kesungguhan pemain pada perlawanan itu untuk mendapatkan kemenangan.

Sementara itu, Norshahrul mendedahkan bahawa beliau kini mahu mendapatkan lesen kejurulatihan kelas B, selepas berjaya melengkapkan lesen kelas C.

Beliau yang baru saja bergelar pemain kelab M3, Harini FT berkata, dirinya merancang untuk terlibat dalam bidang kejurulatihan selepas bersara nanti.