Kita masih perlukan pemain yang tolak panggilan Piala AFF jika mahu bersaing di Piala Asia – Khalid Ali

2,840

Legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali mengakui skuad Harimau Malaya masih memerlukan sentuhan pemain-pemain yang menolak panggilan skuad kebangsaan untuk Piala AFF kali ini sekiranya mahu bersaing di peringkat Asia.

Katanya, kualiti Asia dan Asia Tenggara adalah berbeza justeru negara memerlukan pemain yang lebih berpengalaman untuk kejohanan Piala Asia akan datang.


“Ramai yang kata tak payah panggil pemain yang tolak panggilan ke Piala AFF dah selepas ini, tetapi mereka harus faham kualiti di kedua-dua peringkat ini adalah berbeza.

Kita kena lihat dari sudut yang positif perkara ini, kita dapat lihat Kim Pan-gon adalah seorang jurulatih yang baik dengan pemain yang ada,”

katanya.

Menurutnya, Pan-gon mengingatkan beliau kepada bekas ketua jurulatih Malaysia yang berjaya membawa negara ke Sukan Olimpik, Karl-Heinz Weigang.

Beliau melihat jurulatih berusia 53 tahun itu berjaya mengubah sikap dan mental pemain menjadi lebih baik sehingga berjaya layak ke Piala Asia.

“Saya lihat beliau boleh diibaratkan seperti mendiang Karl-Heinz Weigang yang pernah melatih kami sehingga berjaya ke Sukan Olimpik 1980.

Jika kita beri beliau masa dan sokongan padu, dalam masa setahun kita boleh lihat Malaysia mencabar di peringkat Asia.”

Menurutnya, Pan-gon sentiasa mempunyai gaya permainan tersendiri apabila menentang lawan yang berlainan.

Khalid mengakui, beliau sendiri teruja apabila menonton pasukan negara beraksi di bawah jurulatih Korea Selatan itu.

Tambah Khalid, beliau percaya sokongan daripada 59,000 penyokong Harimau Malaya akan memberi semangat tambahan buat para pemain untuk berjuang menentang Thailand esok.