Saya suka atmosfera SNBJ, memang berharap dapat main di hadapan 89,000 penyokong – Madame Pang

2,638

Pengurus pasukan bola sepak kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam mengakui gemuruh namun teruja untuk beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Menurutnya, suasana di SNBJ amatlah hebat dengan penyokong yang bersemangat dan akan memberi tekanan kepada para pemain lawan.


“SNBJ merupakan stadium terbesar di rantau ini tetapi saya tahu disebabkan konsert akan datang ia tidak boleh full house, tetapi 59,000 penyokong sudah cukup untuk berikan kami tekanan.

Secara peribadi, saya sukakan atmosfera di SNBJ dan saya memang berharap dapat bermain di hadapan kira-kira 89,000 penyokong kerana saya hargai semangat penyokong Malaysia, tetapi tidak boleh lakukan apa-apa,”

katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Madame Pang juga mengakui, cabaran besar buat Thailand pada malam ini memandangkan pasukan itu tidak pernah mencatatkan kemenangan di Bukit Jalil sejak 43 tahun lalu.

Madam Pang berharap, malam ini Thailand dapat menamatkan badi itu dan membawa bekalan yang baik untuk perlawanan kedua di Bangkok 10 Januari ini.

Menurutnya, kedua-dua pasukan mempunyai pemain yang hebat walaupun ramai yang tidak dapat menyertai pada edisi kali ini.

“Kita harus faham kejohanan ini bukan dalam kalendar FIFA jadi ramai pemain yang tidak dapat menyertai, ia terjadi kepada Malaysia, Thailand dan pasukan-pasukan lain juga.

Tetapi pemain-pemain yang ada ketika ini juga berkualiti, saya sendiri lihat perlawanan Malaysia menentang Singapura tempoh hari dan saya lihat Malaysia adalah satu pasukan yang kuat.”

Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memasang skrin besar bagi memastikan mereka yang tidak dapat menonton di stadium dapat merasai suasana perlawanan itu beramai-ramai.

Katanya, itu menunjukkan semangat yang dimiliki oleh penyokong bola sepak di Malaysia begitu tinggi.

Sementara itu, beliau berharap pada masa akan datang akan dapat melihat lebih ramai lagi pemain Malaysia dapat berhijrah ke Liga Thailand dan sebaliknya kerana ia akan membantu meningkatkan tahap bola sepak di kedua-dua negara.

Beliau menghargai bakat-bakat dari Malaysia seperti Safawi Rasid yang berhijrah ke Ratchaburi FC dan Dion Cools yang akan bermain bersama Buriram United dalam menyemarakkan lagi bola sepak Thailand.