Malaysia ada liga bola sepak yang bagus, saya harap dapat kembangkan sayap ke sini – Madame Pang

1,449

Pengerusi kelab Thailand, Port FC iaitu Nualphan Lamsam berminat untuk mengembangkan sayapnya dalam sukan bola sepak ke Malaysia satu hari nanti.

Menurutnya, Liga Malaysia adalah antara liga yang terbaik di rantau ini, justeru sesuai buat meluaskan lagi pengaruhnya dalam bola sepak.


“Saya harap satu hari nanti saya boleh kembangkan sayap saya dalam bidang bola sepak ke Malaysia, tetapi bagi saya adalah lebih baik untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak di sini dahulu.

Pada pandangan saya, Malaysia mempunyai liga bola sepak yang bagus, dengan liga yang bagus barulah wujudnya pasukan kebangsaan yang bagus,”

katanya.

Bukan sahaja beliau berharap dapat menembusi pasaran Malaysia, pengurus pasukan kebangsaan Thailand itu berharap lebih ramai pemain Malaysia dapat berkelana ke Thailand juga.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Madame Pang berkata, beliau menghargai bakat-bakat dari Malaysia seperti Safawi Rasid yang berhijrah ke Ratchaburi FC dan Dion Cools yang akan bermain bersama Buriram United dalam menyemarakkan lagi bola sepak Thailand.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat beberapa pemain yang mempunyai potensi tinggi untuk bermain di Liga Thailand.

Beliau menamakan Stuart Wilkin dan Darren Lok sebagai antara pemain yang berbakat tinggi untuk beraksi di Thailand.

“Saya ada lihat pasukan kebangsaan Malaysia bermain, saya kagum dengan pemain bernombor 8 (Stuart Wilkin) dan 9 (Darren Lok), saya lihat mereka ini sesuai untuk bermain di Thailand.

Sekarang ini ada beberapa pemain Malaysia yang sudah menyertai Liga Thailand seperti Safawi Rasid (Ratchaburi FC) dan Dion Cools (Buriram United), saya harap selepas ini ramai lagi yang akan memeriahkan Liga Thailand.”

Katanya, pertukaran pemain antara kedua-dua negara dapat meningkatkan lagi tahap bola sepak masing-masing.

Tambahnya, beliau juga ada mengikuti bola sepak Malaysia dan mengenali legenda kebangsaan, Mokhtar Dahari.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai rahsia kejayaannya membawa pasukan bola sepak wanita Thailand dua kali ke Piala Dunia, beliau berkata bola sepak lelaki dan wanita haruslah dilayan secara adil.

“Untuk kembangkan tahap bola sepak wanita haruslah ada pasukan yang profesional, harus layan kedua-dua bola sepak lelaki dan wanita secara adil.

Dahulu ramai pemain wanita Thailand yang mahu bermain di luar negara, tetapi kami wujudkan satu persekitaran bola sepak yang bagus untuk wanita di Thailand, dan mereka kini mahu bermain di negara sendiri.”

Untuk rekod, pasukan bola sepak wanita kebangsaan Thailand berjaya layak ke Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Piala Dunia Wanita 2019 di Perancis ketika Madame Pang menjadi pengurus.