Ini adalah hadiah hari lahir terbesar, bukan duit tetapi dapat banggakan rakyat Malaysia – Faisal Halim

290

Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim gembira dapat menjaringkan gol pada ulang tahun kelahirannya ketika menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF sebentar tadi.

Beliau berkata, ia adalah hadiah yang paling bermakna dan berkongsi kegembiraan itu dengan seluruh rakyat Malaysia.


“Bagi saya ini hadiah terbesar buat diri saya, bukan duit yang saya pandang tetapi kemenangan untuk rakyat Malaysia.

Walaupun saya tak dapat sambut hari lahir dengan keluarga, isteri dan anak-anak, tetapi saya ada rakan dan jurulatih yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,”

katanya.

Beliau berkata, semua pemain menyumbang kepada kemenangan malam ini dan bukan dirinya sahaja.

Sementara itu, beliau mengakui permainan Malaysia pada malam ini sedikit tidak menjadi namun bersyukur dapat mencatatkan kemenangan.

“Walaupun kita tidak bermain seperti biasa malam ini, saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki setelah kita berdoa dan berusaha.

Perlawanan seterusnya tidak mudah kerana bakal bermain di Thailand, tetapi saya percaya jurulatih mempunyai pelan untuk kami.”

Beliau bersyukur mereka tidak melepaskan gol pada perlawanan tersebut dan memuji disiplin yang ditunjukkan rakan sepasukan.

Beliau berkata, matlamat pasukan adalah untuk membanggakan rakyat Malaysia, penyokong dan keluarga, serta ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang telah banyak berkorban buat mereka.