Peraturan gol tempat lawan tidak akan dikira selepas 90 minit pada Piala AFF 2022

2,032

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Sabtu lalu, Malaysia mempunyai sedikit kelebihan menjelang separuh akhir kedua esok yang akan berlangsung di Stadium Thammasat, Bangkok esok.

Kejayaan barisan pertahanan negara menyekat serangan bertubi-tubi pasukan Thailand mungkin akan menjadi punca Malaysia mampu layak ke perlawanan akhir kerana Piala AFF masih menggunakan peraturan gol tempat lawan.


Justeru, sekiranya Malaysia berjaya mendapatkan jaringan pada perlawanan esok, ia bakal memberi tekanan kepada Thailand kerana mereka harus menang dengan sekurang-kurangnya perbezaan dua jaringan untuk mara ke perlawanan akhir.

Sekiranya keputusan esok kekal 1-0 memihak kepada Thailand selepas 90 minit (agregat 1-1), kedua-dua pasukan akan berentap selama 30 minit masa tambahan untuk menentukan pemenang sebelum ke sepakan penalti.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa peraturan jaringan tempat lawan tidak akan dikira pada masa tambahan.

Contohnya, sekiranya Malaysia dan Thailand terikat agregat 1-1 pada 90 minit, dan kedua-dua pasukan masing-masing menjaringkan satu lagi gol pada masa tambahan untuk terikat 2-2, Malaysia tetap harus bermain pada penentuan sepakan penalti.

Ini berbeza dengan peraturan pada edisi terdahulu di mana peraturan jaringan di tempat lawan turut dikira sekiranya perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Peraturan itu dipinda untuk memastikan keadilan buat tuan rumah pada perlawanan kedua.

Justeru, Malaysia dan Indonesia tidak mempunyai kelebihan sekiranya kedua-dua pasukan terpaksa bermain pada tambahan masa pada separuh akhir kedua.

Sementara itu, Malaysia bakal turun pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Bangkok, yang menggunakan rumput jenis Paspalum.

Paspalum merupakan jenis rumput yang biasa digunakan untuk padang bola sepak dan juga lapangan golf, dan sesuai untuk iklim yang panas.

Sebelum ini, Stadium Nasional Bukit Jalil juga pernah menggunakan rumput tersebut sebelum beralih kepada cow grass.