Tindakan ‘bodoh’ segelintir penyokong hanya akan susahkan penyokong yang ‘away day’ serta FAM

2,190

Kejayaan Malaysia menundukkan Thailand pada separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu dicemari dengan insiden yang ‘tidak manis’ membabitkan penyokong Malaysia.

Tindakan segelintir penyokong yang menyuluh laser ke muka pemain Thailand, dan juga membaling botol ke dalam padang ketika pemain Thailand bersedia untuk mengambil sepakan sudut mendapat liputan media luar negara, sekaligus mencalarkan imej negara.


Walaupun terdapat keputusan pengadil yang tidak memihak kepada Malaysia malam itu, penyokong tidak seharusnya berbuat demikian kerana ia menunjukkan mentaliti kelas ketiga penyokong Malaysia.

Bukan itu sahaja, tindakan sebahagian kecil penyokong itu hanya akan menyebabkan penyokong Malaysia, terutama Ultras Malaya, yang akan bertandang ke Bangkok untuk perlawanan kedua esok mungkin menjadi sasaran.

Ketika ini, terdapat sekumpulan penyokong Malaysia yang dilaporkan telah berada di Bangkok untuk memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

Malaysia dijangka akan menerima sokongan yang padu pada perlawanan esok, kemungkinan situasi pada 2018, juga ketika Malaysia menentang Thailand pada separuh akhir Piala AFF, akan berulang kembali.

Diharapkan mereka tidak menjadi sasaran penyokong Thailand yang masih marah dengan tindakan penyokong yang tidak bertanggungjawab itu.

Selain itu, pemain-pemain negara juga mungkin akan menerima nasib yang sama pada perlawanan esok sebagai tanda ‘balas dendam’.

Menurut laporan media, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) juga akan membawa perkara itu kepada perhatian pihak Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk tindakan lanjut.

Tidak mustahil sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan didenda disebabkan kegagalan mengawal tindakan penyokong.

Nampaknya, segelintir penyokong masih tidak belajar daripada insiden yang pernah menyebabkan penyokong Malaysia tidak dibenarkan hadir ke stadium, iaitu ketika perlawanan menetang Arab Saudi pada 2015 yang terpaksa dihentikan pada minit ke-88 akibat tindakan penyokong membakar dan membaling suar ke dalam stadium.

FAM ketika itu didenda RM180,000 dan Malaysia tidak debenarkan beraksi di hadapan penyokong untuk satu perlawanan.