Budak ‘nakal’ Van Hau menjadi senjata misteri buat Vietnam sekali lagi
Pemain pertahanan kiri Vietnam, Doan Van Hau sekali lagi menjadi topik bualan hangat apabila aksi ‘nakal’nya berjaya membantu Vietnam mara ke perlawanan akhir Piala AFF.
Keputusan 2-0 yang memihak kepada Vietnam itu turut menyaksikan Indonesia terpaksa berputih mata untuk mendakap Piala AFF buat pertama kali setelah 14 kali mencuba untuk menjadi juara.
Aksi Van Hau bukan sahaja memberi kelebihan buat Vietnam malah turut dikritik hebat oleh penggendali bola sepak Indonesia, Shin Tae-yong.
Tae-yong mengkritik aksi Van Hau ke atas anak buahnya terutama pada separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Beliau turut menganggap Van Hau tidak diberi hukuman yang sepatutnya oleh pengadil dari Oman, Omar Al Yaqoubi walaupun kekasaran serta provokasi yang dilakukan oleh Van Hau itu wajar diberikan hukuman yang setimpal.
Van Hau turut menyifatkan anak buah Tae-yong sebagai pelakon gara-gara insiden yang melibatkan dirinya dan Marc Klok pada perlawanan itu.
Pada separuh masa kedua, berlaku pertembungan antara Van Hau dan Klok yang menyaksikan pemain Indonesia itu seperti berpura-pura menjatuhkan diri walaupun tidak berlaku sentuhan yang kasar terhadap pemain itu.
Walaupun tindakan Van Hau kurang disenangi oleh pihak lawan, beliau tetap mendapat pujian daripada peminat bola sepak Vietnam serta penggendali skuad itu sendiri, Park Hang-seo.
Hang-seo berpendapat bahawa Van Hau adalah seorang ‘fighter’ dalam pasukannya dan semangat itulah yang dapat membantu Van Hau beraksi dengan cemerlang.
Selain itu, Van Hau juga merupakan seorang pemain yang mempunyai ‘attitude’ beliau tersendiri dimana ianya dapat memberi kelebihan buat Vietnam sepanjang kempen Piala AFF ini berlangsung.
Sikap yang dipamerkan oleh beliau telah memberi banyak kelebihan buat skuad Vietnam terutama sekali pada perlawanan menentang Indonesia serta Malaysia.
Tindakan beliau juga turut menyaksikan pemain pertahanan negara, Azam Azmi telah dibuang padang pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF ketika Malaysia menentang Vietnam.
Bukan itu saja, beliau juga digantung dua perlawanan dan didenda AS$1,000 (RM4,406) akibat insiden dengan Van Hau.
Dengan aksinya yang cemerlang, skuad Vietnam tidak bolos sebarang jaringan pada enam perlawanan terakhir dan pengaruh beliau pada barisan pertahanan Vietnam tidak dapat disangkal lagi.