AMD dan kerajaan negeri Pahang berganding bahu demi bola sepak Malaysia
Kerajaan negeri Pahang dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terus giat menjalin kerjasama yang utuh untuk mencungkil bakat-bakat muda bola sepak yang ada di negeri Pahang.
Melalui lawatan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal ke AMD menunjukkan bahawa akademi itu membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda Malaysia, lebih-lebih lagi anak jati Pahang untuk menjadi atlet bola sepak profesional.
Sedia maklum bahawa AMD adalah akademi bola sepak profesional yang bertempat di Gambang, Pahang telah dianugerahkan pengiktirafan status akademi 2 Bintang (Two Star Academy) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dibawah AFC Elite Youth Scheme.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa AMD mempunyai kriteria akademi bola sepak yang lengkap dari sudut falsafah, pembangunan pemain, kejurulatihan, fasiliti, sains sukan, kebajikan, kemudahan dan lain-lain lagi.
Disini pelatih-pelatih AMD diberikan pendedahan berkaitan bola sepak dan latihan secara profesional untuk mengembangkan bakat mereka dan menjadi pemain bola sepak profesional apabila sudah tamat.
Rekod menunjukkan bahawa pelatih-pelatih AMD seperti ‘pisang goreng panas’ dan berjaya memikat kelab-kelab dalam dan luar negara.
Pada awal 2022, seramai 44 pelatih berjaya mengikat kontrak bersama kelab elit liga super iaitu Sri Pahang FC, Selangor FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC.
Nama besar yang lahir dari produk AMD antaranya adalah pemegang gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022, Arif Aiman Hanapi yang bermain di JDT.
Kredibiliti dan kelincahan atas padang membuktikan bahawa beliau adalah prospek masa depan bola sepak negara.
Selain itu, Luqman Hakim Shamsudin yang kini bermain di Liga Belgium, KV Kortrijk dan beberapa pemain lain seperti Sikh Izhan, Harith Haikal dan ramai lagi.
Ini membuktikan bahawa AMD sememangnya tempat yang tepat dengan fasiliti yang serba serbi lengkap dan mampu melahirkan ramai pemain berkualiti serta boleh bersaing secara profesional di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Justeru itu, Kerajaan Negeri Pahang perlu terus komited dalam mejalin kerjasama dengan Akademi Mokhtar Dahari supaya akan lebih ramai lagi bakat muda khususnya anak jati Pahang yang dapat ditonjolkan dan menjadi penerus generasi emas skuad negara.