Dapat pengiktirafan FIFA, UM jadi kebanggaan Malaysia, teladan buat penyokong bola sepak Asia lain

27,764

Di sebalik kesedihan Harimau Malaya tewas 3-0 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022, ada satu momen yang boleh dibanggakan telah berlaku di Stadium Thammasat, Bangkok semalam.

Meskipun tewas, Ultras Malaya (UM) tidak pernah putus memberi sokongan dan sejurus tamat perlawanan semalam mereka dilihat menyanyikan ‘Sawadikap! Sawadikap! Hey! Hey! Thailand!’ di hadapan pemain Thailand.


Nyayian atau ‘chant’ tersebut merupakan tanda penghormatan yang diberikan oleh UM terhadap pasukan Thailand.

Aksi itu turut mendapat perhatian pemain Thailand di mana mereka turut menyertai nyayian tersebut dengan memberikan tepukan yang di ketuai oleh Theerathon Bunmathan.

Bukan itu sahaja, aksi mereka semalam turut mendapat perhatian oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Konfederasi Bola Sepak Asean (AFF) di mana mereka telah berkongsi video nyayian tersebut di laman sosial mereka.

FIFA telah memuji tindakan UM serta menyifatkan aksi yang dilakukan oleh UM itu sebagai detik yang indah meskipun skuad negara telah tewas.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan bahawa UM merupakan penyokong bola sepak yang terbaik di rantau ASEAN dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi diberikan oleh mereka untuk pasukan kebangsaan.

Kenyataan ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana rata-rata pengguna laman sosial dari pelbagai negara turut memuji aksi yang dilakukan oleh UM sepanjang kempen Piala AFF kali ini.

Sebelum ini, UM turut dipuji oleh sebilangan penyokong Indonesia di mana mereka menyifatkan UM tidak penat berdiri dan menyanyi sepenuh hati sepanjang perlawanan berlangsung dan perkara itu adalah sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mereka.

Mereka turut menyatakan UM merupakan tulang belakang yang cukup penting buat skuad kebangsaan, dan ‘musuh’ yang sukar buat pasukan lawan.

Dengan sokongan padu UM dan penyokong Malaysia yang lain di setiap perlawanan, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berjaya mencatat rekod kehadiran tertinggi untuk peringkat kumpulan Piala AFF 2022 dengan seramai 65,147 kehadiran.

Jadi, tidak hairan sebelum ini pihak lawan turut memuji UM dan penyokong Malaysia ketika mereka bertandang ke SNBJ.

Dalam pada itu, Pengurus pasukan bola sepak Thailand, Madame Pang turut menyifatkan suasana di SNBJ amat hebat dengan penyokong yang bersemangat dan akan memberi tekanan kepada para pemain lawan.

Mula memeriahkan arena bola sepak negara sejak 2007, UM melalui pelbagai detik suka duka dan jatuh bangun sekaligus menjadikan mereka lebih matang serta kini diiktiraf sebagai penyokong terbaik di rantau ASEAN.

Tahniah diucapkan kepada UM dan diharap mereka akan teruskan sokongan mereka buat skuad Harimau Malaya sampai bila-bila.