Saya bersara sebagai pemain bola sepak kerana anak saya – Yong Kuong Yong

6,445

Bekas pemain Penang FC, Yong Kuong Yong mendedahkan sebab beliau bersara awal dari kancah bola sepak Malaysia adalah kerana mahu menjaga anaknya yang mempunyai autism.

Menurut Kuong Yong, walaupun keputusan yang diambilnya itu sangat berat tetapi beliau terpaksa melakukannya juga kerana tanggungjawab sebagai seorang ayah adalah keutamannya.


“Saya bersara kerana anak sulung saya mempunyai autism, jadi setiap minggu saya perlu bawa anak pergi ke hospital untuk membuat terapi seperti speech therapy, occupational therapy dan psikologi. Jadi saya sibuk menguruskan anak saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan ini juga mendedahkan masih mendapat beberapa tawaran daripada kelab dari Liga Malaysia, namun beliau tetap dengan pendiriannya untuk kekal bersara.

“Sebenarnya ada pasukan yang mahukan khidmat saya lagi, tapi saya memilih untuk bersara kerana anak saya.

Memang satu keputusan yang sukar, tapi saya tiada pilihan. Ini tanggungjawab yang perlu saya laksanakan.”

Tindakan beliau meninggalkan dunia bola sepak yang dicintainya itu adalah satu perkara yang cukup mengagumkan sekaligus membuktikan beliau adalah seorang ayah yang mempunyai jiwa besar dan sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga.

Bercerita lanjut mengenai kanak-kanak autism, beliau memberitahu bahawa mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan segala keperluan anak mereka selain dibantu latihan yang diberikan oleh ahli terapi.

“Anak autism ini kalua dibarikan sahaja, dia akan susah, tapi jika anda tolong dia, nanti apabila dia sudah besar dia boleh jaga diri sendiri. Itu yang penting. Jadi ibu bapa perlu ambil tanggungjawab itu kerana selalunya anak akan sentiasa bersama dengan kita.”

Sementara itu, walaupun Kuong Yong tidak lagi aktif sebagai pemain bola sepak, namun beliau kini menceburi bidang kejurulatihan di mana beliau sendiri mempunyai Lesen Kejurulatihan B.

“Saya kini membantu kelab bola sepak rakan saya sebagai jurulatih untuk bantu pemain-pemain kelab itu. Jadi fokus saya kini adalah mengajar bola sepak selain turut masih belajar untuk mendalami ilmu kejurulatihan.”

Beliau menjadikan corak permainan kelab terkenal dunia seperti Liverpool, Chelsea, Manchester United dan Manchester City sebagai inspirasi beliau dalam merencana taktikal untuk pemain dibawah kendaliannya.