Sabah FC tuntut bukti daripada individu yang bangkitkan isu tunggakan gaji

1,363

Sejak beberapa hari ini, pasukan Sabah FC sedang hangat diperkatakan di media sosial apabila banyak pihak mula mempersoal kantung kewangan kelab tersebut apabila terdapat dakwaan kononnya sedang berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Isu tunggakan gaji pasukan itu dikongsi oleh seorang pengguna Twitter, yang mendakwa kelab tersebut mempunyai tunggakan gaji pemain selama tiga bulan.


Pendedahan itu mendapat perhatian pengurusan Sabah yang meninggalkan komen pada posting tersebut dengan menuntut bukti mengenai dakwaan kelab itu berdepan isu tunggakan gaji.

Sehingga kini, masih tiada jawapan dari pemilik akaun tersebut.

Sebelum ini, keputusan ahli politik Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang membuat keputusan untuk berundur dari tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) telah mengejutkan ramai peminat.

Walaupun beliau mengetuai SAFA dan bukan Sabah FC, tetapi beliau banyak membantu kelab itu dalam membawa banyak perubahan sehingga kelab berjaya menduduki tangga ketiga di saingan Liga Super termasuk berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia serta layak ke Piala AFC 2023.

SAFA kini masih lagi belum ada pengganti baru selepas pengunduran Bung Mokhtar.

Berdasarkan pemerhatian peminat, ada beberapa tokoh yang dilihat mempunyai keupayaan untuk mentadbir SAFA.

Antara nama yang disebut-sebut mampu menerajui tampuk kepimpinan sebagai presiden kelab adalah Ahli Parlimen Kudat, Dato’ Verdon Bahanda.

Pemilik Kinabalu Jaguar FC itu mempunyai kredibiliti yang tinggi kerana beliau juga antara orang kuat Sabah FC ketika kelab dalam fasa penswastaan pada November 2020.

Verdon sebelum ini pernah menjadi CEO Sabah FC dengan memegang sebanyak 70% saham kelab dan beliau berjaya menyelesaikan tunggakan hutang SAFA sebelum melepaskan jawatan itu pada Disember 2020.

Status kewangan yang kukuh menjadi nilai tambah mengapa beliau dilihat layak untuk menjadi presiden.

Sebelum ini, bekas pemain bola sepak Sabah itu telah melaburkan sebanyak RM6 juta untuk kelab KJFC yang bersaing di Liga M3.

KJFC telah mengharungi musim yang cukup cemerlang menjadi juara Kumpulan A dengan kutipan 45 mata dari 18 perlawanan dan melayakkan diri ke peringkat suku akhir, tapi akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 4-3 secara agregat menentang KL Rovers.

Sementara itu, diharap Sabah dapat segera mencari pengganti yang berkaliber bagi memegang tampuk kepimpinan tertinggi pasukan itu dan mengekalkan prestasi cemerlang pada saingan musim 2023.