Dalam masa lima tahun kita akan lihat bola sepak wanita di Malaysia di satu tahap berbeza – Syahidah Shamsool

435

Ketua jurulatih wanita Kelana United FC, Syahidah Shamsool merasakan arena bola sepak wanita di negara ini akan menunjukkan peningkatan bermula tahun ini dengan kedatangan ketua jurulatih wanita kebangsaan yang baru, Soleen Al-Zou’bi.

Katanya, apa yang sedang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bola sepak wanita semakin menunjukkan hasil terutama dengan penglibatan lebih ramai pihak.


“Kita lihat kejohanan WSL yang dianjurkan oleh Selangor tahun ini semakin berkembang dengan 12 pasukan berbanding enam tahun lalu.

Dengan penyertaan lebih ramai pasukan, lebih ramai muka baru akan ke depan dan ini akan memperbanyakkan pilihan pemain negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau memberi kredit kepada Selangor yang menyambut seruan FAM dalam mewujudkan liga bola sepak wanita bagi memastikan bola sepak wanita di negara ini tidak ‘mati’.

Katanya, ia adalah penting kerana para pemain akan bermain secara kompetitif dengan lebih kerap, sekaligu meningkatkan tahap permainan mereka.

“Saya puji inisiatif Selangor yang memulakan liga wanita pada awal tahun, jadi pemain dapat bermain dari sekarang dan bersambung dengan kejohanan yang dianjurkan FAM pada hujung tahun.

Jadi, pemain-pemain ada masa sepanjang tahun untuk belajar dan ia adalah satu perkara yang baik.”

Menurutnya, dalam tempoh lima atau enam tahun lagi, mungkin kita akan dapat melihat pasukan bola sepak wanita negara bersaing di peringkat yang tinggi.

Besar harapannya untuk melihat skuad wanita berjaya layak ke Piala Dunia, tetapi harus bermula dengan Piala Asia terlebih dahulu.