Pengaruh Zidane besar, Presiden FFF letak jawatan selepas beri komen berbaur ‘kurang ajar’

5,699

Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), Noel Le Graet meletakkan jawatannya pada 11 Januari lalu selepas mengeluarkan kata-kata yang disifatkan sebagai ‘kurang ajar’ terhadap pemain lagenda negara itu, Zinedine Zidane.

Le Graet dikecam penyokong bola sepak Perancis serta beberapa pemain negara itu seperti Kylian Mbappe dan Hugo Lloris ekoran kenyataan yang dikeluarkan olehnya.


Beliau berkata dalam satu temu ramah yang dirinya tidak kisah tentang hala tuju kerjaya Zidane dan mungkin tidak akan angkat panggilan telefon jika pemain itu menelefonnya.

Susulan itu, pemain bintang Perancis, Mbappe turut meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila Presiden FFF boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu dan turut menyatakan ‘Zidane adalah Perancis, kami tidak menghina legenda seperti itu’ di laman sosial miliknya.

Zidane mempunyai pengaruh yang sangat besar di Perancis kerana kejayaannya sebagai pemain serta pengurus.

Kritikan kepada seseorang pemain atau pun pengurus adalah perkara normal, tetapi kritikan yang diberikan seharusnya bersifat kritikan membina dan bukannya menghina.

Apa yang diperkatakan Le Graet sememangya tidak boleh diterima kerana beliau seolah-olah tidak menghargai jasa Zidane untuk Perancis.

Untuk rekod, Zidane pernah membawa Perancis memenangi Piala Dunia 1998 serta Kejohanan Eropah 2000.

Pemain yang disapa sebagai Zizou itu telah membuat penampilan bersama skuad Les Bleus sebanyak 108 kali dan telah menjaringkan sebanyak 31 gol.

Beliau juga pernah keluar dari persaraan dari pasukan kebangsaan demi membantu Perancis untuk mengharungi kempen Piala Dunia 2006 yang mana beliau berjaya membantu skuad itu menjadi naib juara dan dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan itu.

Sebelum mengendalikan skuad kebangsaan Perancis, beliau telah membimbing gergasi Real Madrid dan telah berjaya merangkul kejuaraan UEFA Champions League (UCL) sebanyak tiga kali berturut-turut.