Latihan di sini berintensiti tinggi, semuanya laju tapi latihan dengan KPG bantu saya sesuaikan diri – Kogileswaran Raj

250

Pemain kebangsaan, Kogileswaran Raj mengakui beliau bakal berdepan cabaran besar untuk membuktikan kemampuannya di kelab baru, Chungbuk Cheongju terutama dari segi fizikal.

Menurutnya, beliau merupakan pemain terendah dalam pasukan, justeru perlu menunjukkan tahap agresif yang tinggi bagi bersaing dengan pemain-pemain lain.


“Saya lihat mereka berlatih dengan intensiti yang agak tinggi, semuanya laju-laju, memang sukar nak capai tetapi saya harap dapat sesuaikan diri secepat mungkin.

Selain itu dari segi fizikal saya adalah pemain terendah dalam pasukan, jadi saya perlu lebih agresif untuk bersaing dengan mereka bagi merebut tempat dalam pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, beliau juga berkata faktor komunikasi juga adalah sukar kerana pemain-pemain tempatan berinteraksi menggunakan Bahasa Korea, dan tidak ramai yang faham Bahasa Inggeris.

Namun beliau berkata terdapat staf kejurulatihan yang pandai bertutur dalam Bahasa Inggeris dan juga Korea, justeru dapat membantu beliau dan dua lagi pemain import lain, masing-masing dari Brazil dan Australia.

Walaubagaimanapun, Kogileswaran percaya latihan yang dilalui bersama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dapat membantunya menyesuaikan diri dalam masa yang cepat.

“Latihan di sini agak sama dengan latihan yang diterapkan oleh coach Pan-gon bersama pasukan kebangsaan, kedua-duanya berintensiti tinggi dan keras.

Jadi saya rasa lebih mudah untuk saya sesuaikan diri dengan pasukan baru ini.”

Beliau berharap dapat mencipta impak bersama Chungbuk Cheongju dan menjaringkan gol bersama pasukan itu.

Tambah Kogileswaran, beliau berharap perpindahan ini dapat meningkatkan tahap permainannya dan memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.