Mahali Jasuli gantung ‘boot’ lagi 6 tahun

898

Pemain pertahanan kental, Mahali Jasuli meletakkan sasaran lima hingga enam tahun lagi untuk berkecimpung dalam dunia bola sepak profesional sebelum gantung ‘boot’.

“Saya akan cuba bermain selagi saya mampu dan jika masih cergas dan tidak mengalami sebarang kecederaan saya akan cuba beraksi selama yang boleh.

Saya akui agak sukar untuk mengikut jejak langkah pemain lagenda Shukor Adan bermain sampai usia 42 tahun, jadi saya letak sasaran saya mampu bermain lagi lima ke enam tahun lagi sebelum saya gantung ‘boot’,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Mahali merupakan salah seorang pemain yang berada dalam skuad Emas Negara kendalian Dato’ K. Rajagopal apabila mereka berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF 2010 buat pertama kali dalam sejarah.


Kini pemain berusia 32 tahun itu merupakan salah seorang tonggak utama untuk pasukan berpengkalan di Petaling Jaya iaitu PJ City FC.

Sumber foto: PJ City FC Facebook

PJ City FC merupakan satu-satunya pasukan dalam Liga Super yang menggunakan seratus peratus pemain tempatan yang mana kebanyakkannya adalah pemain muda.

“Walaupun saya terpaksa bersaing dengan pemain-pemain muda untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama, namun ia satu yang positif untuk diri saya dan juga pemain-pemain muda.

Ini kerana di PJ City FC, peluang pemain-pemain muda ini sangat cerah untuk mereka beraksi. Malahan jurulatih juga menekankan bahawa pemain muda akan mendapat minit permainan, jadi mereka perlu gunakan peluang ini untuk pamerkan kualiti permainan terbaik.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan dirinya bersama PJ City FC untuk musim hadapan, Mahali memuji pihak pengurusan pasukan yang membuat persediaan awal kerana misi mereka pada musim ini adalah untuk berada dalam kedudukan top 5 di Liga Super.

Selain Liga Super, Mahali juga berharap agar pasukannya mampu mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia berikutan musim ini mereka kandas di peringkat kumpulan.

Mahali juga menjanjikan pasukannya akan terus memberikan persembahan terbaik dan akan pastikan pasukan PJ City FC menjadi lawan yang sengit buat mana-mana pasukan di Liga Malaysia walaupun hanya dibarisi pemain tempatan.