Sukan Malaysia susah nak maju sebab semua mahukan ‘result’ segera, presiden baru masuk semua nak tukar – Haresh Deol
Wartawan sukan terkemuka, Haresh Deol menganggap mentaliti peminat sukan di Malaysia yang sentiasa mahukan keputusan baik dengan cepat merupakan antara sebab sukan di negara ini sukar untuk maju.
Beliau berkata, dasar dan program yang sentiasa berubah-ubah apabila terdapat individu baru yang mengetuai sesuatu badan atau kementerian sukan menyebabkan konsistensi jarang berlaku.
“Kerap sangat idea ditukar, apabila presiden baru atau menteri baru masuk semua nak jadi hero, cuba lihat Jepun, mereka pernah buat program 100 tahun untuk bola sepak dan mereka ikut saja sampai habis.
Dalam konteks bola sepak pula, apabila pemilik baru atau presiden baru ambil alih semuanya janji nak bawa piala sebagainya, tetapi jarang ada yang mengatakan mereka akan menekankan pembangunan, kerana peminat semua nak lihat kejayaan dengan cepat,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurutnya, dengan fasiliti dan jumlah pelaburan yang ada, Malaysia sepatutnya sudah lebih maju daripada negara-negara Asia Tenggara yang lain.
Selain itu, beliau juga berkata, kerajaan negeri juga tidak memberi tumpuan kepada pembangunan sukan di negeri masing-masing, dan hanya fokus kepada pasukan utama.
Ia menyebabkan pembangunan sukan di negara ini tidak berada di tahap yang baik.
“Kita terlalu mengharapkan kerajaan, contohnya dalam bola sepak kerajaan yang laksanakan NFDP di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Habis tu kerajaan negeri buat apa? Bukankah setiap negeri harus ada program pembangunan akar umbi?”
Beliau turut menyentuh pembangunan bola sepak wanita yang jelas tiada di negara ini.
Menurutnya, walaupun negara telah melantik ketua jurulatih wanita yang baru iaitu Soleen Al-Zou’bi, sukar buatnya menaikkan tahap bola sepak negara kerana pembangunan akar umbi bagi bola sepak wanita di negara ini tiada.
Beliau berkata, ia dapat dilihat dengan jelas apabila boleh dikatakan hampir semua sekolah di negara ini tidak mempunyai pasukan bola sepak wanita jika dibandingkan dengan pasukan lelaki.