Tidak bersama KV Kortrijk, masa depan Luqman Hakim jadi persoalan

2,447

Teka-teki mengenai masa depan penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin terus menjadi persoalan apabila beliau disahkan tidak kekal bersama KV Kortrijk.

Perkara itu disahkan Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad menerusi satu ciapannya di laman sosial Twitter milik beliau.


Amin turut menyatakan yang kelab baharu Luqman hanya akan diberitahu umum seawal minggu hadapan.

Rata-rata peminat bola sepak negara meluahkan kebimbangan kerana masa depan penyerang berusia 20 tahun itu masih lagi tidak ditentukan oleh kelabnya.

Kesemua kelab yang pernah disertai Luqman sebelum ini banyak memberi fokus kepada pembangunan remaja dan kelab yang bakal disertainya nanti pasti akan menjadi tumpuan kerana penyokong ingin melihat adakah beliau memilih kelab yang mempunyai asas yang sama atau tidak.

Penyokong juga ingin melihat adakah penyerang dari Kota Bharu, Kelantan ini juga akan memilih kelab yang memiliki kaitan dengan Malaysia seperti KV Kortrijk.

Sudah sedia maklum pemilik KV Kortrijk adalah milik ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan yang turut mempunyai dua lagi kelab bola sepak iaitu Cardiff City dan FK Sarajevo.

Berdasarkan dua kelab ini, agak mustahil untuk Luqman ke England kerana dengan peraturan ketat yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak England (EFA) terhadap pemain luar yang ingin beraksi di liga tertinggi dunia itu.

Namun beliau mungkin mempunyai peluang untuk beraksi sekiranya berhijrah ke Bosnia and Herzegovina untuk bermain bersama FK Sarajevo.

Terdahulu, Luqman telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama KV Kortrijk pada Ogos 2020.

Bersama kelab itu, beliau hanya membuat satu penampilan dan masuk sebagai pemain gantian sahaja.

Diharap bersama kelab baharu nanti Luqman akan mendapat lebih banyak minit permainan serta mampu menunjukkan kemampuan dirinya.

Semoga berjaya buat Luqman Hakim di kelab baharunya nanti.