Terima kasih TMJ atas usaha dan sokongan sehingga kami berjaya bawa JDT|GBX ke peringkat dunia – Mohamad Nor Haikal

1,960

Pemain eFooball JDT|GBX, Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismal Idris atas usaha dan sokongan berterusan sehingga beliau berjaya menduduki ranking pertama dunia sukan tersebut.

“Terima kasih TMJ atas usaha dan sokongan untuk saya dan rakan sepasukan membawa nama JDT|GBX ini ke peringkat dunia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Nor Haikal, beliau menduduki ranking pertama dunia selepas mengumpul 1,540 mata sekaligus meninggalkan pesaingnya dari Brazil, Senegal dan Jepun.


Beliau mula menyertai JDT pada tahun 2021 di mana ketika itu beliau menyertai kejohanan Champions eFootball yang mana beliau bergandingan dengan pemain Mohamadou Sumareh.

“Dalam kejohanan itu ia saya sebagai pemain profesional eFootball, manakala Sumareh pula ada pemain bola sepak yang bermain eFootball. Kejohanan itu membabitkan enam kelab dari luar negara seperti Buriram United, Chonburi dan beberapa lagi.

Kami akan bermain secara solo yang mana saya akan menentang pemain profesional eFootball, manakala Sumareh pula akan menentang dengan pemain bola sepak kelab itu.”

Dalam pada itu, Nor Haikal mengakui pada awal pembabitannya dalam dunia eSports ini keluarganya sedikit skeptikal mengenai pilihannya untuk menjadikan bidang permainan video ini sebagai kerjaya sepenuh masa, namun semuanya berubah apabila beliau mencipta kejayaan meraih pingat emas pada Kejohanan E-Sukan Komanwel (CEC) 2022 di Birmingham, England.

“Keluarga memang banyak bantu saya dari segi kewangan pada awal pembabitan tapi dalam dunia permainan video ini ada kala menang ada kalanya kalah, jadi saya amik itu semangat satu semangat untuk saya teruskan perjuangan.

Saya memang minat dan mahu pergi jauh dalam bidang ini. Dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel  saya berjaya menang pingat emas dan keluarga saya berasa sangat bangga, jadi dari situ saya nampak mereka tidak menyesal menyokong saya sejak dari mula.”

Sementara itu, beliau juga sempat memberi nasihat kepada anak-anak muda di luar sana yang ingin menceburi bidang eSports ini dengan berkata mereka perlu utamakan pelajaran sebelum ceburi bidang ini.

Ini kerana menurut Nor Haikal, bidang eSports masih lagi baru di Malaysia dan ia masih belum terjamin mereka yang menceburi bidang ini dapat menjadi pemain eSports sepenuh masa.

Dalam perkembangan lain, beliau akan menyertai kelayakan World eFootball Open pada hujung bulan ini dan sekiranya layak beliau akan ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Jepun. Beliau juga akan menyertai satu lagi kejohanan iaitu World eSports di Romania.

Nor Haikal juga berkata harapan beliau kini adalah untuk terus membawa nama JDT|GBX terus gah di persada dunia.