Perak FC dan Kelantan FC tak boros berbelanja untuk kembalikan zaman kegemilangan

1,184

Kira-kira sebulan lagi sebelum bermulanya Liga Super Malaysia, setiap pasukan pasti sibuk mempersiapkan pasukan masing-masing dengan melakukan latihan pra musim, menandatangani pemain baru serta menguruskan kontrak-kontrak pemain lama.

Musim 2023 boleh dikatakan lebih menarik berbanding musim lalu apabila terdapat pertambahan pasukan dari 12 kepada 14 pasukan (walaupun perancangan awal 18 pasukan, tapi dua pasukan tarik diri, dua pasukan tak dibenarkan beraksi dek masalah kewangan).


Dengan kesemua pasukan sudah secara rasmi menjadi kelab bola sepak profesional yang dimiliki oleh syarikat swasta, persiapan pasukan menjadi lebih menarik apabila mereka akan pastikan berbelanja mengikut kemampuan.

Sehingga kini, anggaran RM200 juta telah dibelanjakan oleh kelab yang bersaing dalam Liga Super musim ini.

Angka tersebut telah didedahkan oleh Action Football Asia (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataannya kepada sebuah akhbar baru-baru ini.

Bagaimanapun jumlah tersebut dijangka akan meningkat berikutan masih ada beberapa kelab yang belum melengkapkan skuad mereka lagi.

Menurut anggaran yang dinyatakan, kelab gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC menjadi kelab yang sudah berbelanja sekitar RM25 juta.

Manakala dua lagi kelab besar iaitu Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC pula mengambil langkah bersederhana apabila anggaran perbelanjaan mereka ketika ini sekitar RM15 juta.

Tatkala pasukan lain sedang sibuk mengeluarkan belanja yang besar namun, dua kelab yang turut mempunyai sejarah cemerlang yang juga bekas pasukan gergasi di Liga Super iaitu Perak FC dan Kelantan FC hanya berbelanja sekitar RM10 juta sahaja.

Tidak dapat dinafikan Perak kini dimiliki oleh syarikat telco terkemuka negara XOX Berhad, sekaligus boleh dikatakan mereka antara kelab ‘terkaya’ ketika ini, tetapi di bawah kendalian ketua jurulatih baru Lim Teong Kim, mereka mengambil pendekatan untuk tidak berbelanja besar untuk mendapatkan kejayaan dalam tempoh singkat.

Selain itu, skuad The Bos Gaurus itu juga telah melantik legenda bola sepak mereka iaitu V. Saravanan, sebagai penolong jurulatih kelab itu dan beliau juga pernah melatih beberapa pasukan kumpulan umur di kelab terkemuka Finland, HJK Helsinki.

Sebaliknya The Bos Gaurus mahu membina semula pasukan dari bawah, oleh itu mereka kini cenderung menandatangani pemain-pemain muda.

Manakala Kelantan pula, pemiliknya Norizam Tukiman pula awal-awal lagi sudah memaklumkan bahawa mereka hanya akan berbelanja mengikut kemampuan sahaja dan tidak akan boros kerana tidak mahu kelab terbeban dengan hutang.

Menariknya, untuk musim ini Kelantan akan mendapat sentuhan bola sepak dari Korea Selatan apabila mereka melantik Choi Moon-sik sebagai pengendali baru.

Pada masa sama The Red Warriors turut mendaptkan khidmat Hyo Jun-park sebagai jurulatih kecergasan bagi memastikan tahap kecergasan pemain di tahap yang bagus.

Kelantan juga baru sahaja selesai menjalani perlawanan pra musim antarabangsa di negara jiran Thailand bertemu gergasi Buriram United yang menyaksikan mereka tewas 7-0.

Kedua-dua pasukan itu sedang melakukan persiapan yang sangat rapi untuk menghadapi musim baru Liga Super.

Apa yang dilakukan oleh Perak serta Kelantan ini merupakan satu perkara yang bagus di mana mereka tidak berbelanja besar tapi masih lagi mahu memberikan yang terbaik untuk kelab serta penyokong.

Adakah mereka akan mengharungi musim yang cemerlang pada tahun ini? Sama-sama kita tunggu.