Saya memang ada pelan bersara di Kedah Darul Aman FC, tetapi Nafuzi Zain ada pelan lain – Syazwan Zainon

2,203

Pemain Kelantan United FC, Syazwan Zainon berharap beliau mampu mengembalikan kembali prestasinya bersama pasukan baru selepas pulih daripada jangkitan kuman di paru-paru musim lalu.

Menurutnya, pihak pengurusan kelab mengharapkan beliau dan pemain senior lain seperti Indra Putra dapat memberi bimbingan kepada pemain muda dalam pasukan itu.


“Sasaran peribadi saya bersama Kelantan United adalah untuk dapatkan kembali prestasi seperti sebelum saya sakit.

Pihak pengurusan memang letakkan harapan kepada pemain senior untuk bimbing pemain muda bagi mendapatkan keputusan yang positif dalam setiap perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Syazwan, beliau memang mempunyai hasrat untuk bersara di Kedah Darul Aman FC tetapi akur dengan perancangan ketua jurulatih baharu kelab itu, Nafuzi Zain.

Beliau berkata, walaupun Kelantan United merupakan pasukan kecil dan baru, ia mempunyai impian yang besar untuk berjaya.

“Mungkin dari segi pemain pasukan kita tidak dibarisi dengan nama besar tetapi saya harap semua pemain ada hati yang besar.

Tidak kiralah pemain senior atau muda, kita harus berikan cabaran yang baik kepada pasukan besar untuk buktikan sesuatu.”

Mencecah usia 34 tahun pada 2023, beliau berkata akan terus bermain selagi khidmatnya diperlukan oleh mana-mana pasukan.

Beliau sedar saingan pada musim 2023 akan menjadi lebih mencabar dengan semua pasukan sudah melakukan persiapan yang rapi.