Untuk tahap Liga Super Kelantan United FC perlukan pemain lebih berkualiti daripada musim lalu – Nazrulerwan Makmor

252

Penolong jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor mengakui pasukan itu melakukan banyak perubahan musim ini daripada skuad musim lalu kerana persaingan yang kuat dalam Liga Super.

Katanya, untuk bersaing dengan pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC, mereka memerlukan pemain-pemain yang lebih baik.


“Bukan mahu menidakkan skuad musim lalu tetapi untuk tahap Liga Super kita perlukan pemain yang berkualiti kerana kita tahu pasukan besar seperti JDT, Selangor dan Kedah mereka semua ada pemain yang berkualiti.

Buat masa ini kita lihat kombinasi pemain berpengalaman dan muda agak positif dan kita dapat lihat peningkatan yang ditunjukkan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, mereka harus menguji pemain dalam perlawanan persahabatan terlebih dahulu untuk melihat keserasian para pemain.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama dengan ketua jurulatih baharu, Tomas Trucha setakat ini baik dan mereka berdua banyak membantu antara satu sama lain.

“Kami berkomunikasi dengan baik dan saling berkongsi pendapat, segala-galanya nampak positif dan saling bantu membantu.

Sebagai jurulatih, apa pengalaman dan ilmu yang saya ada saya akan kongsikan kepada para pemain.”

Beliau berharap Kelantan United dapat memberikan saingan yang baik kepada pasukan-pasukan lain dalam Liga Super walaupun merupakan sebuah kelab kecil.

Tambahnya, mereka harus menampilkan persembahan yang lebih cemerlang berbanding musim lalu untuk menunjukkan kepada para penyokong.