Thailand, Vietnam, Palestin diundang ke Pestabola Merdeka, harap SNBJ tidak digunakan untuk konsert

1,841

Setelah hampir 10 tahun tidak dianjurkan, Pestabola Merdeka kini kembali untuk edisi ke 42 dan dijadualkan bakal berlangsung pada September ini.

Kehangatan dan kemeriahan kejohanan tersebut sudah tentu di nanti-nantikan oleh semua penyokong skuad kebangsaan Malaysia.


Namun, segalanya tidak bermakna jika stadium yang bakal digunakan untuk kejohanan itu nanti akan bertembung dengan program lain.

Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue kejohanan itu, mereka harus memastikan dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang stadium itu tidak digunakan atau bertembung dengan program lain seperti konsert seleberiti luar negara.

Ini kerana untuk memastikan agar isu seperti perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 menentang Thailand itu tidak berulang.

Terdahulu, FAM hanya menjual 59,000 tiket sahaja untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF dan sebanyak 21,000 tiket tidak dapat dijual gara-gara pemasangan struktur pentas konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou.

Perkara itu telah mendatangkan ketidakpuasan hati penyokong kerana ada daripada mereka yang tidak berjaya mendapatkan tiket untuk ke perlawanan penting itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed turut mengesahkan yang kejohanan Pestabola Merdeka kali ini akan menggunakan format yang sama seperti Piala Raja Thai.

Empat pasukan akan diundi terlebih dahulu kemudian mereka akan bermain seperti separuh akhir, dan pemenang akan masuk ke perlawanan akhir manakala yang tewas akan beraksi untuk tempat ketiga dan keempat.

Selain itu, FAM turut mengesahkan yang terdapat dua pasukan dari Asia Barat yang berada dalam radar mereka untuk dijemput menyertai kejohanan ini dan pasukan tersebut ialah Syria dan Palestin, di mana masing-masing kini menghuni tangga ke 90 serta 93 dunia dalam ranking Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA)

Manakala, dua lagi pasukan yang bakal dijemput ialah pasukan dari rantau Asia Tenggara (ASEAN) yang mempunyai ranking lebih tinggi dari skuad Harimau Malaya (145 dunia) iaitu Vietnam (96 dunia) dan Thailand (111 dunia).

Kesemua perlawanan tersebut amat penting buat skuad kebangsaan kerana perlawanan itu bakal memberi mata rangking untuk mereka dan pasukan yang mereka bakal lawan juga mempunyai rangking yang lebih tinggi.

Pestabola Merdeka juga boleh menjadi medan yang terbaik untuk anak-anak buah Kim Pan-gon membuat persiapan menjelang Piala Asia 2023 tahun hadapan.

Diharap untuk edisi akan datang pihak FAM akan mempertimbangkan untuk mengembalikan format lama kejohanan ini dengan melibatkan lapan pasukan.

Kehadiran lapan pasukan yang bakal bertanding akan mempertingkatkan mutu serta kualiti kejohanan itu.

Dengan penglibatan lapan pasukan ianya akan membantu pembangunan bola sepak negara lebih maju.

Untuk rekod, Malaysia merupakan pasukan paling berjaya untuk kejohanan ini dengan  rekod 10 kejuaraan.