Filip Nguyen dan Dang Van Lam letak tepi; Farizal, Syihan merupakan penjaga gol terbaik di Asia Tenggara!

1,220

Posisi penjaga gol merupakan posisi yang cukup penting dalam bola sepak kerana mereka merupakan benteng pertahanan terakhir pasukan.

Posisi ini juga merupakan antara posisi yang sering mendapatkan kritikan hebat dari ramai pihak sekiranya berlaku kesilapan mudah.


Malaysia begitu bertuah kerana mempunyai dua penjaga gol yang boleh dikatakan antara, ataupun yang terbaik di rantau Asia Tenggara ketika ini iaitu Farizal Marlias dan Syihan Hazmi.

Kedua-dua pemain tersebut merupakan pemain kelab gergasi Malaysia dan Asia Tenggara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Meskipun sudah berusia 36 tahun, namun Farizal sentiasa mempamerkan aksi yang cukup baik setiap kali beliau diturunkan samada untuk kelab mahupun negara.

Sikap kempimpinan antara sebab mengapa beliau sering kali menjadi pilihan utama ketua jurulatih selain daripada aksi tangkasnya dalam menyelamatkan percubaan demi percubaan daripada pihak lawan.

Farizal merupakan antara pemain paling lama bersama JDT dan kehebatannya sebagai penjaga gol utama JDT tidak boleh dipertikai, tambahan pula beraksi dalam kelab yang mempunyai ramai pemain berkualiti akan menyaksikan hanya terbaik akan mendapat tempat.

Selain daripada itu, pemain kelahiran Jengka, Pahang itu juga berjaya membantu JDT untuk memenangi pelbagai kejuaraan termasuk Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih serta Piala AFC 2015.

Bagi skuad kebangsaan pula, Farizal telah berjaya membuat 54 penampilan sejak kali pertama melakukan debut pada tahun 2009 ketika menentang Kenya.

Dalam pada itu, aksi Syihan ketika beraksi bersama Negeri Sembilan FC telah membawanya menjadi pilihan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menjadi penjaga gol utama.

Kehebatan beliau juga membuatkan JDT tertarik dan telah menandatanganinya untuk bersama skuad Harimau Selatan itu pada musim ini.

Untuk musim lalu, beliau beraksi cukup cemerlang dan berjaya membawa Negeri Sembilan untuk mengakhiri saingan Liga Super di tangga keempat.

Manakala untuk skuad negara pula, beliau berjaya membantu skuad negara untuk mara ke Piala Asia 2023 setelah menumpaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia.

Selain itu, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini juga berjaya membantu skuad negara untuk muncul naib juara King’s Cup Thailand dan baru-baru ini berjaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2022.

Syihan telah melakukan sembilan penampilan untuk skuad kebangsaan dan debutnya adalah pada tahun 2017 ketika perlawanan persahabatan menentang Palestin.

Tidak salah jika dikatakan pesaing paling dekat untuk Farizal dan Syihan di rantau Asia Tenggara adalah dari Vietnam dengan kehadiran Filip Nguyen dan Dang Van Lam.

Filip merupakan pemain kelahiran Republik Czech tetapi memiliki darah Vietnam.

Filip baru sahaja menyertai salah sebuah kelab yang baru naik pangkat di V-League 1 iaitu Cong An Hanoi FC.

Manakala Dang Van Lam bukanlah nama yang asing kerana ketangkasan yang beliau pamerkan sepanjang kempen Piala AFF 2022 amatlah cemerlang.

Di sepanjang kejohanan itu, pemain Rusia-Vietnam ini hanya bolos tiga gol sahaja iaitu ketika Thailand pada perlawanan akhir pertama dan kedua.