Penyokong Kelantan FC sudah lebih bertamadun, imej liar itu semua cerita lama – Amran Salleh

618

Bekas capo Gate H Boys, Amran Salleh percaya bahawa penyokong Kelantan FC pada hari ini sudah lebih bertamadun dan tidak wajar lagi dikaitkan dengan keganasan.

Menurutnya, imej ganas yang sering dikaitkan dengan penyokong Kelantan sudah berlalu dan Gate H Boys sendiri mengambil peranan untuk memastikan penyokong tidak melakukan perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang.


“Itu semua cerita lama, ketika zaman Tan Sri Annuar Musa lagi beliau dah mula ubah minda penyokong daripada ganas kepada lebih baik. Jika ada yang buat hal hari ini pun ia hanyalah kes terpencil sahaja.

Jika di kawasan Gate H Boys, kami sendiri akan pantau sebaik mungkin para penyokong supaya tiada yang melanggar peraturan dalam stadium,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau menganggap, penyokong Kelantan adalah antara yang terbaik di negara ini, dan yakin lebih ramai penyokong akan tampil pada musim depan memandangkan kelab itu akan beraksi dalam Liga Super.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Gate H Boys tidak sesekali akan memberikan sokongan kepada Kelantan United FC walaupun ia dari negeri yang sama.

Katanya, walaupun turut mewakili negeri Kelantan, kelab itu merupakan seteru mereka jadi mustahil mereka akan memberikan sokongan.

“Sebagai ultras kita hanya berikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada satu kelab saja, situasi ini kita boleh ibaratkan seperti Liverpool dan Everton yang berada di kawasan sama, tetapi tetap musuh yang ketat.

Tetapi perseteruan hanyalah di dalam stadium, di luar tiada masalah antara penyokong kedua-dua kelab. Penyokong Kelantan United juga sebilangannya terdiri daripada rakan-rakan saya.”

Sementara itu, beliau berharap pihak pengurusan Kelantan akan melakukan yang terbaik buat pasukan itu dalam mengharungi Liga Super musim depan.

Beliau juga berpesan kepada para penyokong supaya terus memberikan sokongan padu kepada kelab itu dan menjaga reputasi penyokong Kelantan.