Harap Fyna Jebat membawa tuah dan harapan baru kepada Zainal Abidin

913

Baru-baru ini peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita tentang perkahwinan bekas pengendali Penang FC, Dato’ Zainal Abidin Hassan dengan penyanyi sensasi, Fyna Jebat.

Namun, ketika Zainal masih berteka-teki mengenai statusnya Fyna telah tampil mengesahkan yang dirinya telah bernikah dengan beliau.


Diharap perkahwinan yang baru dibina ini bakal memberi rezeki yang tidak disangka-sangka untuk bekas penggendali Melaka United FC itu kerana masa depannya dalam bidang kejurulatihan masih menjadi persoalan.

Ketika ini, masih tiada khabar berita mengenai kelab baru yang akan dikendalikannya untuk musim ini.

Zainal merupakan seorang jurulatih yang sangat berpengalaman dan berbekalkan pengalamannya itu, pasti akan ada kelab yang akan menagih khidmatnya.

Mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga boleh menawarkan pengendali berusia 61 tahun itu untuk membantu dalam program pembangunan akar-umbi bola sepak negara.

Untuk rekod, Zainal pernah menggendali empat kelab gergasi di Malaysia iaitu, Penang, Melaka United, Sri Pahang FC yang dahulu dikenali sebagai Pahang FA dan Selangor FC.

Antara kejayaan beliau sebagai ketua jurulatih adalah ketika berjaya membawa Pahang (Sri Pahang) untuk muncul juara Piala FA 2015 dan Piala Malaysia 2015.

Apa-apa pun, semoga perkahwinan yang baru dibina itu berkekalan dan diharap Zainal juga dapat kembali di bidang pengurusan dengan mengendali mana-mana pasukan.