“Hilang macam tu sahaja sebelum ini tapi tiba-tiba muncul buat pasukan baru!” – Eksklusif dari bekas pemain Melaka United

571

Setelah lama mendiamkan diri, seorang bekas pemain Melaka United FC akhirnya tampil membuka mulut untuk mendedahkan beliau masih lagi belum menerima bayaran tunggakan gaji selama enam bulan.

Pemain itu akhirnya tampil membuat pendedahan itu kepada Harimau Malaya selepas berasa tidak tahan lagi apabila sehingga kini pihak pengurusan kelab masih belum memaklumkan mengenai perkembangan tunggakan gaji sehingga kini.


“Pengurusan Melaka United seperti ‘orang yang tidur tak bangun-bangun’ apabila sehingga kini tiada sebarang surat atau menghubungi kami bagi membincangkan mengenai isu tunggakan gaji.

Kami cuma berkomunikasi dengan pihak PFAM (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia) sahaja yang mana satu surat arahan telah dikeluarkan kepada pengurusan kelab untuk melangsaikan segala tunggakan gaji pemain tapi pengurusan terus senyap,”

katanya.

Beliau juga berkata situasi yang berlaku ketika ini antara pemilik Melaka United dan pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) seperti tarik tali apabila kedua-dua pihak seperti mahu lepas tangan dari kemelut ini.

“Bila kami bertanya kepada Datuk Justin Lim, beliau cakap ‘saya sudah selesaikan tanggungjawab saya, semua masalah MUFC yang kena bertanggungjawab’. Bila kami tanya MUSA pula mereka cakap sudah tiada kaitan lagi. Bingung kami.”

Dalam pada itu, beliau dan bekas rakan sepasukan lain juga terkejut apabila mendapat tahu kelab Melaka FC ditubuhkan dan mereka dibenarkan untuk bermain di Liga M3 pada musim ini, sedangkan individu yang pernah bersama MUSA turut berada dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

“Saya pun hairan. Mereka hilang macam tu sahaja sebelum ini apabila kami cuba hubungi tapi tiba-tiba mereka muncul buat pasukan baru. Pelik kami dibuatnya. Tak tahu apa ‘kabel’ mereka pakai.”

Terdahulu, beberapa pemain Sarawak United FC telah tampil mendedahkan bahawa mereka masih lagi belum menerima tunggakan gaji tiga ke empat bulan sehingga mereka kini hidup dalam keadaan tertekan dek sering dikejar pihak bank yang menuntut hutang.

Bekas ketua jurulatih Sarawak United, B. Sathianathan juga mendedahkan telah membelanjakan RM46,000 wangnya sendiri untuk membantu pemain-pemainnya yang berada dalam kesusahan.