Peminat Sri Pahang FC terharu dengan kesetiaan Aguero

773

Penyerang naturalisasi Sri Pahang FC (SPFC), Sergio Ezequiel Aguero sah akan kekal bersama kelab itu untuk musim ini apabila beliau sudah menandatangani lanjutan kontrak.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Sri Pahang menerusi laman sosial milik mereka.


Namun, berbeza pula dengan nasib seorang lagi pemain naturalisasi Lee Tuck, di mana beliau kini sah menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila rundingan lanjutan kontrak bersama Sri Pahang gagal mencapai kata sepakat.

Dalam pada itu, Aguero turut menyatakan yang dirinya mahu membalas kepercayaan kepada kelab kerana mengekalkannya dalam pasukan untuk saingan Liga Super musim ini.

Penyerang berusia 29 tahun itu turut berharap yang segalanya akan lebih baik buat dirinya untuk membantu skuad Tok Gajah melakar lebih banyak kejayaan.

Sikap Aguero ini wajar dipuji kerana sanggup kekal bersama Sri Pahang selepas kelab itu sudah berhempas pulas untuk menjayakan proses naturalisasinya.

Selain daripada itu, tindakan beliau juga jelas menunjukkan yang dirinya begitu sayang kelab dan amat menghargai apa yang mereka sudah lakukan untuknya.

Aguero juga amat berterima kasih kepada penyokong Sri Pahang kerana sentiasa menyokongnya.

Terdahulu, penyerang berasal dari Argentina itu mendapat pujian penyokong bola sepak negara apabila memuat naik satu posting dalam Bahasa Melayu sejurus tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 yang menyaksikan skuad Malaysia tewas 3-1 secara agregat kepada juara bertahan Thailand.

Beliau juga turut menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh bersemangat sepanjang kempen Piala AFF.

Selain itu, beliau turut menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia selepas proses naturalisasinya berjaya di mana beliau telah keluar membuang undi pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15).

Untuk rekod, Aguero hanya sempat beraksi dua perlawanan sahaja buat Sri Pahang musim lalu iaitu ketika berdepan Terengganu FC (TFC) pada pusingan awal Piala Malaysia kerana Malaysian Football League (MFL) hanya membenarkan beliau beraksi selepas proses naturalisasinya selesai.